My Add

Friday 2 August 2013

Kerajaan akan nilai semula AES selepas Hari Raya

 * HISHAMMUDDIN Hussein (kanan) bersama Menteri Kerja Raya, Datuk Fadillah Yusof (tiga dari kanan), Timbalan Menteri dalam Negeri, Datuk Dr. Wan Junaidi Tunku Jaafar (empat dari kiri) dan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Loga Bala Mohan (dua dari kiri) memakaikan topi keledar kepada penunggang motosikal selepas melancarkan Kempen Keselamatan Jalan Raya peringkat Kebangsaan, di Putrajaya hari ini. - UTUSAN/MOHD NOOR MAT AMIN
PUTRAJAYA, JUMAAT, 02 Ogos, 2013: Kerajaan akan menilai semula penggunaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) yang sebelum ini telah mencetuskan banyak kontroversi selepas berakhirnya sambutan Hari Raya Aidilfitri nanti.

Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, keputusan itu diambil berikutan pihaknya menerima banyak rungutan daripada orang ramai yang tidak berpuas hati dengan kaedah pelaksanaan sistem itu.

Katanya, semua rungutan dan bantahan orang ramai itu akan diambil kira sebelum kerajaan memutuskan tindakan selanjutnya.

"Antara bantahan yang kita dengar ialah orang ramai tidak gembira dengan penglibatan pihak ketiga dalam penguatkuasaan dan kutipan saman melibatkan AES.

"Bagi saya aspek penggunaan kamera itu bukan isu utama tetapi yang menjadi masalah ialah siapa melaksanakan sistem ini dan kutip saman, perkara ini yang mesti ditangani oleh kerajaan," katanya.

Beliau yang juga Menteri Pertahanan berkata demikian selepas merasmikan Pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya Peringkat Kebangsaan Sempena Perayaan Aidilfitri di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE 

No comments:

Post a Comment