My Add

Friday 2 August 2013

PM ucap takziah keluarga pegawai agama mangsa nahas

Oleh FARHANA JONI

KUCHING, JUMAAT, 02 Ogos, 2013 Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan kerajaan menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga empat pegawai agama yang maut dalam kemalangan di Jalan Sri Aman-Betong, petang semalam.

Ucapan takziah itu disampaikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom ketika menziarahi keluarga salah seorang mangsa, Allahyarham Halimah Hamrie, 30, di rumah mertuanya di Samariang Batu di sini awal pagi tadi.

Terdahulu, Jamil Khir yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) di sini tengah malam turut menziarahi mangsa yang terselamat, Fakih Ikhwan di Hospital Umum Sarawak (HUS).

Beliau kemudian melawat keluarga seorang lagi mangsa yang maut, Allahyarham Harliani Hanani, 29, di Serian dekat sini.

Turut bersama beliau ialah Ketua Pengarah Jabatan Agama Islam Malaysia (Jakim), Datuk Othman Mustapha dan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Datuk Che Mat Che Ali.

Dalam kejadian pukul 3.30 petang semalam, empat pegawai agama Islam, tiga daripadanya wanita yang dalam perjalanan ke majlis berbuka puasa maut selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori balak di Jalan Sri Aman - Betong dekat Sri Aman.

Ketika kejadian, kereta Toyota Innova yang dipandu Penolong Pengarah Jakim Sarawak, Ibrahim Hailee, 35, dari arah arah Sri Aman menuju Sarikei gagal dikawal lalu bertembung dengan lori balak dari arah bertentangan.

Jurucakap polis memberitahu, lori balak dipandu seorang lelaki berusia 44 tahun itu, dipercayai telah memasuki laluan bertentangan ketika mengambil selekoh.

Ibrahim, Harliani dan Halimah serta seorang lagi mangsa, Qurratu Aini Rolfandy, 23, meninggal dunia di tempat kejadian.

Selain Fakih yang cedera parah, seorang lagi penumpang Mohd. Firdaus Ahmat, 23, mengalami cedera ringan.

Kesemua mangsa, masing-masing bertugas di Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) dan Jakim Sarawak. - UTUSAN ONLINE 

No comments:

Post a Comment