My Add

Monday 19 August 2013

Seorang lagi suspek kes bom ditahan

KOTA BHARU, AHAD, 18 Ogos, 2013: Polis menganggap kes letupan bom yang mengorbankan seorang kerani di Taman Sri Periuk, Tumpat di sini, 11 Ogos lalu selesai selepas seorang lagi suspek ditahan hari ini.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata, lelaki berusia 28 tahun itu ditahan ketika menyerah diri kira-kira pukul 10.30 pagi di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat di sini.

Beliau berkata, suspek yang juga jiran mangsa dipercayai bersekongkol dengan seorang anggota tentera yang ditahan dalam kejadian itu sebelum ini.

"Kita percaya dia terlibat sama dengan suspek pertama yang ditahan sebelum ini. Lelaki ini akan ditahan reman selama tujuh hari untuk siasatan. Dia menyerah diri di IPD Tumpat selepas kita bertemu dengan keluarganya.

"Dengan tangkapan ini, kita percaya dapat menyelesaikan kes letupan bom ini. Siasatan kita mendapati motif kejadian itu adalah cemburu dan dendam.

"Kita berharap dengan tangkapan ini juga akan melenyapkan spekulasi yang dibuat oleh banyak pihak termasuk teori mengatakan bom itu dibawa masuk dari negara jiran," katanya.

Tambah Mazlan, kedua-dua suspek akan didakwa secepat mungkin selepas siasatan siap dijalankan sepenuhnya.

Rabu lepas, polis menahan seorang anggota tentera berpangkat sarjan bagi membantu siasatan kes letupan bom yang mengorbankan seorang kerani sekolah pada 11 Ogos lalu.

Pasukan khas yang ditubuhkan oleh Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan memanggil isteri suspek dan anggota pasukan keselamatan berkenaan bagi memberi keterangan.

Dalam kejadian tersebut, Mohd. Yusrizal Mat Zain, 32, yang bertugas di Sekolah Kebangsaan Kuala Krai maut dengan kedua-dua tangannya putus ketika mengambil satu bungkusan mengandungi bahan letupan yang ditinggalkan di atas sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di halaman rumah mertuanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment