My Add

Tuesday 13 August 2013

Kerajaan perlu gubal undang-undang baharu - PPPMM

KOTA TINGGI, ISNIN, 12 Ogos, 2013: Pertubuhan Penyatuan Pembelaan Melayu Malaysia (PPPMM) menggesa kerajaan supaya menggubal satu akta baharu bagi membolehkan hukuman lebih berat dikenakan kepada mana-mana individu yang menghina kesucian Islam.

Presidennya, A. Rahman Mahadi berkata, penguatkuasaan undang-undang sangat diperlukan kerana kes penghinaan terhadap agama Islam ketika ini dilihat semakin berleluasa.

"Akta yang sedia ada pada waktu ini dilihat tidak lagi relevan dan longgar sehingga perkara berkaitan Islam mudah dipersenda masyarakat lain sehingga menimbulkan marah dalam kalangan masyarakat Islam.

"Kami bimbang apabila kerajaan lemah dalam mengambil tindakan, rakyat akan menjadi semakin marah dan ia mungkin akan menyebabkan mereka bertindak mengikut perasaan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan bantahan aman bersama 30 ahli PPPMM di sebuah resort yang membenarkan penganut agama lain menjalankan aktiviti keagamaan di dalam surau dalam kawasan Kampung Sedili Besar hari ini.

A. Rahman berkata, pihaknya amat tersinggung dan terhina dengan perbuatan seperti itu tambahan pula kejadian penghinaan seumpama itu berlarutan sejak Ramadan sehingga sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Katanya, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan kementeriannya diminta agar tidak berdiam diri bagi mengelak berlaku perpecahan dalam masyarakat di negara ini.

"Kita juga mahu masyarakat hari ini khususnya golongan muda agar sentiasa bersatu dan mengingati kontrak sosial yang diamalkan bagi mengekalkan keharmonian," tegasnya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment