My Add

Wednesday 7 August 2013

Kerajaan Sabah tekad bawa lebih banyak pembangunan untuk faedah rakyat: Musa

KOTA KINABALU, RABU, 07 Ogos, 2013: Kerajaan Negeri Sabah bertekad untuk membawa lebih banyak pembangunan dan kemajuan untuk dinikmati seluruh rakyat tanpa mengira latar belakang, suku kaum dan agama.

Sehubungan itu, Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman menyeru rakyat supaya terus menjaga dan memperkukuhkan semangat perpaduan dan saling hormat-menghormati yang juga elemen penting bagi memastikan kelancaran pelaksanaan pelbagai program pembangunan untuk kebaikan rakyat.

"Bagaimanapun, apa yang membimbangkan saya sejak kebelakangan ini ialah kecenderungan pihak tertentu yang cuba untuk menggugat keharmonian dan merosakkan perpaduan rakyat yang kita kecapi selama ini.

"Saya tekankan di sini bahawa perpaduan dan kestabilan yang kita nikmati pada hari ini perlu dipelihara dan dikekalkan," kata Ketua Menteri dalam perutusan sempena sambutan Aidilfitri, di sini, hari ini.

Musa berharap rakyat di negeri ini akan terus mengamalkan semangat Gagasan 1Malaysia yang diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang memberi penekanan kepada perpaduan nasional.

Beliau turut menyentuh beberapa program yang dilaksanakan oleh kerajaan Persekutuan dan negeri untuk mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan memacu peningkatan ekonomi untuk manfaat rakyat termasuk Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang berada pada landasan yang betul.

"Bagi negeri Sabah, fokus yang diutamakan ialah pembangunan pelancongan, minyak dan gas serta kelapa sawit. 

"Kini kerajaan sedang berusaha untuk melaksanakan lebih banyak aktiviti pemprosesan hiliran minyak, gas dan produk berkaitan kelapa sawit, sekali gus meletakkan kedudukan ekonomi negeri ini pada tahap yang lebih baik," katanya.

Musa gembira projek itu sedang giat dilaksanakan dan yakin penubuhan pelbagai institut latihan dan kemahiran akan membolehkan lebih ramai penduduk tempatan khususnya para belia mendapat latihan kemahiran bagi memenuhi matlamat kerajaan dalam melahirkan rakyat yang berkemahiran tinggi.

Mengenai Program Transformasi Kerajaan (GTP), Musa berkata, program itu menunjukkan pencapaian yang memberangsangkan selari dengan Rancangan Malaysia Ke-10.

"Dalam hal ini, saya optimis bahawa kita akan mencapai matlamat dalam tempoh masa yang ditetapkan bagi setiap inisiatif termasuklah Koridor Pembangunan Sabah (SDC) dan Agenda Halatuju Pembangunan dan Kemajuan Negeri Sabah," katanya.

Musa turut berterima kasih kepada rakyat atas mandat yang diberikan kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk terus bersama-sama membangun dan memajukan rakyat dan negara.

"Kemenangan ini bukanlah untuk kita berbangga dan bermegah-megah. Sebaliknya ia adalah satu tanggungjawab besar yang dipikul oleh Barisan Nasional dalam memberikan khidmat yang terbaik kepada rakyat," katanya.

Musa menyeru parti komponen BN khususnya di Sabah, untuk terus merapatkan barisan, membulatkan tekad dan bekerjasama untuk membangun dan memajukan negeri ini.

Ketua Menteri turut menghargai pengorbanan dan khidmat bakti yang dicurahkan anggota tentera, pasukan polis dan agensi-agensi keselamatan yang lain, terutama dalam menjaga keamanan dan keselamatan khususnya di negeri ini.

"Kita sedar terdapat anggota pasukan keselamatan kita yang sedang bertugas dan tidak dapat meraikan Hari Raya bersama-sama keluarga tersayang". - BERNAMA

No comments:

Post a Comment