My Add

Thursday 22 August 2013

Kerajaan sedia berbincang dengan semua pihak

 Idris Jusoh
PUTRAJAYA, RABU, 21 Ogos, 2013: Kerajaan bersedia bertemu dengan mana-mana pihak dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi mencari kaedah terbaik mengutip semula pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, kerajaan tidak pernah berhasrat menganiaya mana-mana pihak apabila mencadangkan untuk menyenaraihitamkan peminjam menerusi sistem rujukan maklumat kredit berpusat (CCRIS).

Sebaliknya, katanya, cadangan tersebut merupakan salah satu kaedah untuk mendapatkan bayaran balik daripada peminjam yang berdegil.

"Kita bukan hendak senarai hitamkan peminjam ini tetapi kita hendak tahu apa masalah mereka hingga tidak mahu bayar pinjaman PTPTN biarpun hanya bayar RM100 sebulan kita tetap terima.

"Apa yang penting kita mahu memberi peluang yang sama kepada generasi akan datang mendapat pendidikan dan memastikan kelestarian PTPTN untuk semua," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Kementerian Pendidikan, di sini hari ini.

Majlis turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak; isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman.

Idris mengulas mengenai keputusan Kabinet hari ini yang menolak cadangan untuk menyenaraikan peminjam PTPTN menerusi CCRIS.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kerajaan akan bertemu pelbagai NGO dalam masa terdekat ini bagi membincangkan isu tersebut dan masalah sebenar peminjam ingkar membuat pembayaran.

Katanya, pihaknya bersedia mendengar semua masalah yang dikemukakan dan tidak mahu gopoh menyelesaikan perkara tersebut.

"Orang muda tidak perlu takut kita cuma mahu pastikan yang berhutang bayar semula, macam hari ini apabila kita umumkan akan melaksanakan CCRIS sudah ada peminjam yang telefon untuk membayar hutang mereka ini menunjukkan mereka ada duit cuma tidak mahu bayar," katanya.

Katanya, sekiranya yang terus berdegil kerajaan akan melihat mekanisme yang boleh dilakukan untuk mendapat bayaran balik.

Berhubung perkembangan pelajar Malaysia di Mesir yang akan dibawa pulang bermula hari ini, katanya, seramai 1,800 pelajar secara sukarela akan bertolak pulang menggunakan pesawat komersial.

Katanya, penghantaran pulang itu akan dibuat secara berperingkat dan penerbangan pertama dijangka tiba pukul 2 petang esok.

"Kita tidak paksa, sebaliknya dibuat secara sukarela dan jumlah keseluruhan mereka di sana hanya lebih kurang 3,000 orang selepas lebih 7,000 sudah pulang untuk bercuti dan berhari raya ke tanah air," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment