My Add

Sunday 25 August 2013

Kes Altantuya: Keputusan mahkamah perlu dihormati

KUALA LUMPUR, SABTU, 24 Ogos, 2013: Masyarakat diminta menerima dengan terbuka keputusan Mahkamah Rayuan yang melepas dan membebaskan Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar daripada sabitan dan hukuman gantung dalam kes pembunuhan model sambilan Mongolia, Altantuya Shariibuu.

Pensyarah Undang-Undang Perlembagaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr. Shamrahayu Abd. Aziz berkata, mahkamah dipertanggungjawabkan untuk membuat keputusan dalam apa sahaja kes yang dibicarakan, sama ada keputusan itu menyenangkan hati atau tidak.

"Sehubungan itu, jika ada yang tidak puas hati, prosedur masih membenarkan satu lagi proses (rayuan). Tetapi proses itu mesti hanya dilakukan oleh Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail. Maka kita jangan campuri prosedur itu.

"Kita semua harus faham. Sebagai contoh, kalau ikut hak asasi, tidak semua yang dibawa ke mahkamah itu bersalah. Tetapi atas dasar hak asasi, proses di mahkamah itu mesti diteruskan demi kepuashatian pelbagai pihak," katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas keputusan Mahkamah Rayuan yang membebaskan kedua-dua anggota polis itu daripada sabitan dan hukuman mati kerana membunuh Altantuya tujuh tahun lalu.

Sementara itu, pakar undang-undang, Prof. Salleh Buang berkata, pada waktu ini orang ramai diminta akur dengan keputusan Mahkamah Rayuan dan tunggu tindakan Peguam Negara memfailkan notis rayuan untuk dibawa ke Mahkamah Persekutuan.

"Kita tunggu proses rayuan di peringkat terakhir nanti. Pada masa itu Abdul Gani akan berhujah dan kita lihat berjaya atau tidak untuk memujuk mahkamah seterusnya, jika tidak maka keputusan yang sama akan kekal.

"Alasan penghakiman yang dibacakan semalam masih belum sempurna. Itu adalah alasan ringkas. Kita boleh menunggu alasan penghakiman yang lebih padat menerusi tindakan Peguam Negara. Kita minta semua orang ketika ini bersabar," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment