My Add

Sunday 25 August 2013

Seorang anggota Malbatt maut nahas di Lebanon

KUALA LUMPUR, SABTU, 24 Ogos, 2013: Seorang anggota pasukan Batalion Malaysia 5 (Malbatt 5) maut manakala dua rakannya cedera selepas terbabit dalam kemalangan ketika melaksanakan misi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lebanon (Unifil) semalam.

Kejadian itu berlaku kira-kira pukul 5.40 petang waktu tempatan (10.40 malam waktu Malaysia) ketika konvoi 'Force Protection'(FP) melibatkan 41 anggota bersama lapan kenderaan tentera bergerak dari Kem Kawkaba ke Kem Tibnin.

Sarjan Rosdi Mohamad Zan, 32, meninggal dunia di tempat kejadian manakala Lans Koperal Mohamad Aizuwan Atan, 26, dan Lans Koperal Nur Syahied Taib, 26, cedera.

Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin berkata, kemalangan itu berlaku di kawasan operasi berhampiran Bandar Houla melibatkan sebuah kenderaan Kembalik yang sedang menunda kenderaan Perisai Condor.

"Kejadian berlaku apabila Kembalik yang dinaiki mangsa tiba-tiba hilang kawalan ketika melalui selekoh lalu terbalik ke dalam gaung sedalam 15 meter bersama kenderaan perisai yang ditunda.

"Kenderaan Kembalik ketika itu dipandu Nur Syahied yang turut dinaiki Mohamad Aizuwan yang bertindak sebagai pengiring sementara Rosdi sebagai ketua kenderaan," katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Markas Angkatan Tentera Malaysia di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Timbalannya, Datuk Abdul Rahim Bakri dan Pemangku Panglima Angkatan Bersama, Mejar Jeneral Datuk Abu Bakar Md. Said.

Sementara itu, Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman dalam kenyataannya berkata, jenazah Allahyarham Rosdi akan dibawa pulang ke Malaysia Isnin ini," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Allahyarham Rosdi yang berasal dari Jerantut, Pahang meninggalkan seorang balu, Aliza Ariffin serta tiga orang anak berusia 8, 6 dan 3 tahun. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment