My Add

Monday 26 August 2013

Kilang meletup, pekerja wanita terperangkap

Oleh AZELI ALI

BUKIT MERTAJAM, ISNIN, 26 Ogos, 2013: Sebuah kilang memproses ubat-ubatan herba di Kawasan Perindustrian Perai di sini terbakar dan meletup sehingga mencederakan seorang pekerja.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.20 petang itu, wanita warga Indonesia tersebut terperangkap di bawah runtuhan dinding bangunan di bahagian pembungkusan yang terletak kira-kira tiga meter dari tempat letupan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang, Azmi Tamat berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 1.21 petang dan jentera sampai di lokasi kejadian empat minit kemudian.

"Melalui maklumat awal yang diterima, berlaku letupan dan runtuhan kilang namun kemudian ada laporan mengenai kebakaran di kilang itu yang melibatkan bahagian pengeringan.

"Pihak bomba kemudiannya menjalankan operasi pemadaman serta mencari dan menyelamat mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan dinding," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian hari ini.

Tambah Azmi, operasi berkenaan turut mendapat bantuan Pasukan Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) serta bomba sukarela.

Jelasnya, mangsa yang dikenali sebagai Rachel Suparmi kemudiannya dibawa ke Hospital Seberang Jaya untuk rawatan dan keadaannya dilaporkan stabil.

"Kesan akibat letupan mengakibatkan semua cermin di tingkat bawah bangunan pecah dan bertaburan sehingga 30 meter.

"Mujur kejadian berlaku pada waktu rehat dan semua pekerja kilang keluar makan tengahari," ujarnya.

Selain itu Azmi berkata, pihaknya akan meminta bantuan jurutera struktur bagi memastikan kilang itu selamat untuk beroperasi.

Sementara itu, seorang pekerja yang enggan dikenali berkata, kejadian letupan tersebut adalah kali kedua berlaku dalam tempoh empat tahun.

"Bagaimanapun, kali pertama dulu tiada sebarang kecederaan dan tidak serius seperti ini," katanya yang telah bekerja selama tujuh tahun di kilang berkenaan. - UTUSAN ONLINE 

No comments:

Post a Comment