My Add

Monday 26 August 2013

Parti-parti India patut bergabung dengan MIC

PUTRAJAYA, ISNIN, 26 Ogos, 2013: MIC tidak sepatutnya dibubarkan berikutan ada cadangan supaya parti-parti yang mewakili kaum India di negara ini bergabung di bawah satu parti tunggal.

Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri Dr. S.Subramaniam berkata, sebaliknya semua parti terbabit perlu bergabung dengan MIC selaras dengan statusnya yang mewakili masyarakat India sejak sebelum merdeka lagi.

"MIC sedia menerima parti-parti tersebut walaupun kita sedar ada sesetengahnya mahu mengekalkan identiti asal dan mahu jawatan tertentu.

"Sudah pasti MIC sedia berbincang tetapi bergantung kepada kemampuan kita untuk memenuhi permintaan mereka," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Laporan Sistem Transisi Kesihatan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menggesa semua parti komponen yang mewakili kaum India di negara ini bergabung di bawah satu parti tunggal bagi memastikan usaha memperkasa kebajikan kaum tersebut dapat dilakukan dengan efisien.

Beliau berkata, sudah tiba masanya semua pemimpin MIC, PPP, Barisan Kemajuan India Se-Malaysia (IPF), Kongres India Muslim Malaysia (Kimma), Parti India Bersatu Malaysia (MUIP) dan Makkal Sakti Malaysia (Makkal Sakti) berbincang berhubung perkara tersebut demi kebaikan serta masa depan kaum yang diwakili. - UTUSAN ONLINE 

No comments:

Post a Comment