My Add

Thursday 15 August 2013

Konflik profesion guaman

Oleh ROSALINDA MD.SAID

KUALA LUMPUR, RABU, 14 Ogos, 2013: Pengamal undang-undang yang terpilih sebagai ahli politik dinasihat meninggalkan profesion guaman kerana penglibatan aktif dalam kedua-dua bidang itu dikhuatiri boleh menimbulkan konflik.

Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang berkata, hal itu wajar diberi perhatian serius memandangkan peguam yang berjawatan atau dipilih sebagai ahli politik tidak boleh lari daripada mempunyai kecenderungan serta kepentingan politik.

Jelasnya, adalah tidak wajar apabila wujud segelintir pengamal undang-undang yang berkhidmat untuk satu-satu pihak, parti atau individu tertentu sahaja, sedangkan golongan itu seharusnya bertindak kepada seluruh masyarakat tanpa mengira fahaman politik.

"Peguam berhak mengkritik sesuatu perkara yang bertentangan dengan undang-undang tetapi adalah menjadi kesalahan dalam etika amalan guaman apabila seseorang memperjuangkan sesuatu perkara dengan cara menyembunyikan perkara yang sebenarnya demi kepentingan pihak atau parti tertentu.

"Peranan peguam adalah untuk mencari kebaikan dan menutup lompong yang ada dan bukan bertujuan memporak-perandakan masyarakat pelbagai kaum serta agama," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut Musa, ahli politik yang juga peguam harus sedar bahawa isu politik begitu luas dimensinya, maka setiap hujah yang digunakan perlu mengambil kira sensitiviti setiap golongan berlandaskan kerangka Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang negeri sedia ada.

Jelasnya, atas alasan itu Seksyen 46A Akta Profesion Undang-Undang 1976 melarang peguam yang terlibat dalam politik menjadi ahli Majlis Peguam.

Sementara itu, Pensyarah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr. Sham Rahayu Ab. Aziz berkata, kewibawaan pengamal undang-undang yang bergelar ahli politik di negara ini belum dibuktikan dengan jelas dan masih banyak kelemahan yang perlu ditambah baik oleh mereka.

"Di negara luar, golongan itu didapati lebih bijak serta profesional dalam mengatur komitmen mereka, walau bagaimanapun saya belum melihat perkara yang sama dalam kalangan peguam yang juga ahli politik di negara ini.

"Apa yang mustahak adalah golongan ini wajar mengekalkan kewibawaan mereka memberikan penerangan yang tuntas tanpa memutar-belitkan fakta," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment