My Add

Wednesday 14 August 2013

Syiah bahayakan Malaysia

Oleh MOHD. ZUHARMAN MOHAMMAD NOR

KOTA BHARU, SELASA, 13 Ogos, 2013: Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam Kelantan, Ustaz Muda Membela Agama dan Tanah Air (Ummati) menyarankan pihak berkuasa agama agar bertindak tegas terhadap kumpulan berfahaman Syiah yang semakin menular di dalam negara.

Aktivis Ummati, Mohd. Syamsul Mohd. Yusoff berkata, penularan fahaman tersebut mengundang bahaya kerana ia bercanggah dengan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Justeru katanya, pihak berwajib perlu mengatasinya walau dengan apa cara sekalipun termasuk tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang yang ada bagi mengekalkan kemakmuran umat Islam di negara ini.

"Pertembungan dua fahaman bukan sahaja menimbulkan kekeliruan tetapi juga mencetuskan bahaya dalam kalangan ummah. Situasi ini tidak boleh dipandang remeh, semua pihak bertanggungjawab khususnya pihak berkuasa agama sendiri dalam menanganinya.

"Isu Syiah bukan satu perkembangan baru kerana telah aktif di negara ini sejak lebih 10 tahun dahulu, tapi kini nampaknya kian meningkat," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Tegasnya, senario itu menunjukkan kumpulan terbabit bukan sahaja tidak mempeduli bahkan menghina keputusan Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam pada 1996 yang telah mewartakan pengharaman Syiah kerana ia boleh menimbulkan perpecahan dalam kalangan umat Islam negara ini.

"Oleh itu tindakan sewajarnya perlu diambil bagi mengelakkan ia terus berleluasa dalam negara," katanya.

Tambahnya, selain mengundang kekeliruan dan bahaya terhadap akhlak, fahaman tersebut juga boleh mengundang bahaya kepada negara sekiranya tidak ditangani dari awal.

Mohd. Syamsul berkata, sejarah telah membuktikan perpecahan yang berlaku dalam kalangan umat Islam di zaman permulaan Islam berikutan fitnah yang dicetuskan oleh pengikut fahaman berkenaan.

Katanya, terlalu banyak catatan mengenainya dalam sejarah Islam antaranya gerakan Ibnu Saba' yang mencetuskan huru-hara di zaman pemerintahan Saidina Uthman termasuk perang saudara, Peperangan Jamal, Siffin dan sebagainya.

"Pada tahun 1175 Hijrah, Najaf Ali Khan pemimpin Syiah yang menguasai Delhi masa itu pernah menghukum Syah Waliyullah dengan merenggangkan pergelangan tangannya kerana mengarang kitab 'Izalatu al-Khafa' bagi mengatasi kekeliruan yang ditimbulkan oleh Syiah tentang Khilafah para Khulafa Ar-Rasyidin," jelasnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment