My Add

Wednesday 7 August 2013

Kuan Yew nafi beliau punca kelahiran rendah

 * BEKAS Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew (kanan) menemui Naib Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden di Istana Presiden, Singapura pada 26 Julai lalu. - Agensi
SINGAPURA, SELASA, 06 Ogos, 2013: Pengasas negara Singapura, Lee Kuan Yew menafikan bahawa dasarnya telah menyebabkan berlaku kadar kelahiran rendah di pulau ini.

Beliau turut menyatakan, pemberian insentif kewangan kepada pasangan suami isteri tidak akan dapat menyelesaikan masalah tersebut.

Dalam petikan sebuah buku baharu yang dilancarkan semalam, Kuan Yew menegaskan bahawa keengganan pasangan suami isteri di sini mendapatkan lebih ramai anak berpunca daripada perubahan gaya hidup dan cara berfikir.

Beliau berkata, faktor tersebut tidak dapat diubah semata-mata melalui pemberian insentif kewangan.

Di sebalik pemberian ‘bonus bayi’ sebagai galakan untuk pasangan mempunyai lebih ramai anak, kadar kelahiran di sini pada 2012 berada pada 1.20 bayi untuk setiap wanita.

Bilangan itu jauh lebih rendah daripada angka 2.1 orang bayi yang diperlukan untuk mengekalkan populasi di pulau ini.

Bekas Perdana Menteri itu yang bersara daripada politik pada 2011 turut menyifatkan ‘tidak munasabah’ dakwaan bahawa dasar “Berhenti Pada Dua Anak” yang dilaksanakan olehnya pada tahun 1970-an menjadi punca kejatuhan kadar kelahiran bayi di pulau ini.

Bimbang letusan populasi akan menjejaskan pertumbuhan ekonomi dan infrastruktur pulau ini, pentadbiran Kuan Yew melaksanakan langkah ketat tersebut bagi mendesak pasangan muda supaya mempunyai cuma dua anak.

“Insentif wang yang banyak cuma mempunyai kesan sedikit dalam menangani masalah kejatuhan kadar kelahiran,” kata Kuan Yew.

“Saya tidak dapat menyelesaikan masalah ini dan saya sudah berputus asa,” kata Kuan Yew dalam buku baharunya yang berjudul One Man’s View of the World.

Beberapa petikan daripada buku tersebut disiarkan dalam akhbar Straits Times semalam menjelang pelancaran rasminya pada hari yang sama.

“Saya menyerahkan tugas itu kepada para pemimpin generasi seterusnya. Saya berharap mereka atau pengganti mereka akhirnya akan dapat mencari jalan keluar daripada masalah ini,” kata Kuan Yew.

Pemimpin tersebut menyerahkan kuasa kepada timbalannya, Goh Chok Tong pada 1990 selepas mentadbir negara selama 31 tahun.

Beliau meneruskan tugas sebagai penasihat Kabinet hingga 2011.

Anak lelaki Kuan Yew, Lee Hsien Loong memegang jawatan Perdana Menteri Singapura selepas pengunduran Chok Tong pada 2004.

Kadar kelahiran di Singapura kekal rendah sejak beberapa dekad lalu, sekali gus memaksa pemerintah membuka pintu kepada warga asing yang kini merangkumi satu pertiga penduduknya.

Kebanjiran warga asing bagaimanapun mendapat bantahan penduduk tempatan sehingga memaksa pemerintah mengetatkan kemasukan mereka sejak beberapa tahun lalu.

Menurut Kuan Yew, kejatuhan kadar kelahiran kekal sebagai ancaman terbesar terhadap kelangsungan Singapura.

Beliau memberi contoh Jepun yang akan hilang daya saingnya ekoran pening- katan jumlah warga emas setelah pasa- ngan suami isteri di negara itu gagal melahirkan bayi yang mencukupi untuk keperluan negara.

Keengganan Jepun membuka pintu kepada imigran akan menyebabkan negara itu merosot dengan lebih jauh, katanya.

“Jika saya seorang belia Jepun dan saya boleh bertutur dalam bahasa Inggeris, saya akan memilih untuk berhijrah ke luar negara,” ujar Kuan Yew. – AFP/KOSMO! 

No comments:

Post a Comment