My Add

Wednesday 7 August 2013

MBAM gesa Imigresen baiki mutu perkhidmatan

KUALA LUMPUR, SELASA, 06 Ogos, 2013: Persatuan Pemborong Binaan Malaysia (MBAM) menjelaskan, tempoh lapan bulan untuk permohonan permit pekerja asing yang dimaksudkannya ialah merangkumi proses dari tarikh pendaftaran sehingga tarikh penyerahan kad pendaftaran pekerja pembinaan atau kad hijau.

Presidennya, Matthew Tee berkata, sebagai contoh, Jabatan Imigresen di Selangor mengambil masa lebih dua bulan hanya untuk proses panggilan visa pekerja.

''Tidak dinafikan memang di sesetengah negeri, jabatan imigresen berupaya menyiapkan permit pekerja dalam tempoh yang singkat.

''Tetapi di Selangor, mereka sememangnya dikenali sebagai negeri paling kerap mengalami gangguan perkhidmatan kerana setiap hari lebih 1,000 permohonan dan ini menjadikan proses yang lain tertunggak,'' katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Baru-baru ini, MBAM mendakwa proses permohonan permit untuk pekerja asing dalam bidang pembinaan mengambil masa yang cukup lama iaitu lapan bulan.

Bagaimanapun, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Alias Ahmad menyangkal dakwaan itu dan menjelaskan tempoh sebenar adalah 14 hari berikutan pihaknya telah menambah pegawai di bahagian Visa dan Rujukan (VDR) termasuk pekerja lebih masa.

Matthew berharap, Jabatan Imigresen dan kementerian berkaitan dapat menyelesaikan masalah tersebut supaya kemasukan pekerja asing dapat disegerakan sekali gus mengelak berlakunya kerja-kerja penangguhan dalam industri.

Dalam pada itu, beliau berkata, MBAM menggesa kerajaan mewujudkan satu pusat sehenti bagi proses permohonan pekerja asing berbanding pada masa ini pihaknya terpaksa melalui kira-kira tiga kementerian yang berbeza bagi urusan seumpama itu.

Beliau juga merayu kerajaan supaya menangguhkan serbuan ke atas pekerja tanpa izin pada musim Hari Raya Aidilfitri agar tidak mengganggu projek-projek kendalian pihaknya sementara isu kelewatan kemasukan pekerja asing dapat diselesaikan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment