My Add

Thursday 1 August 2013

Lebih dua juta kilogram bahan kitar semula disimpan isi rumah: Halimah Sadique

KUALA LUMPUR, RABU, 31 Julai, 2013: Jumlah bahan kitar semula yang disimpan oleh isi rumah di seluruh negara berjumlah 2.1 juta kilogram.

Timbalan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Halimah Mohd Sadique, berkata secara purata, setiap rakyat Malaysia menyimpan bahan kitar semula sebanyak 0.07 kilogram, sehari.

"(Contoh) Bahan kitar semula yang disimpan oleh isi rumah ialah mesin basuh yang dibeli oleh suami pada waktu perkahwinan pertama. Walaupun mesin basuh baru dibeli, mesin basuh lama walaupun rosak, disimpan di belakang rumah," katanya ketika menjawab soalan tambahan Senator Rohani Abdullah pada sesi persidangan Dewan Negara, hari ini.

Rohani ingin tahu keberkesanan projek 'entry point' untuk meningkatkan program kitar semula atau 3R (Reduce, Reuse and Recycle) dan meningkatkan kadar kitar semula kepada 40 peratus, iaitu peningkatan sebanyak tiga peratus setahun.

Halimah berkata, kajian Komposisi Sisa Pepejal oleh kementerian pada 2012, menunjukkan bahawa kadar kitar semula dalam kalangan isi rumah meningkat daripada 5 peratus pada tahun 2005, kepada 9.7 peratus pada 2011.

Katanya kementerian yakin bahawa sasaran kadar kitar semula sebanyak 22 peratus menjelang tahun 2020 boleh dicapai.

"Keadaan ini menuntut komitmen berterusan daripada semua pihak dalam menguruskan pelupusan sisa pepejal atau sampah sarap domestik yang efektif," katanya. 

Beliau berkata, kementerian mendapati 95 hingga 97 peratus bahan yang dikutip di Semenanjung Malaysia dilupuskan di tapak pelupusan sisa pepejal. Hanya baki tiga hingga lima peratus sisa pepejal diproses oleh kilang kitar semula.

Katanya sisa pepejal yang dilupuskan di tapak pelupusan terdiri daripada sisa makanan dan organik lain (47 peratus), kertas (15 peratus), plastik (14 peratus), logam (4 peratus), kaca (3 peratus), dan bahan-bahan lain termasuk tekstil, kayu dan getah.

"Industri kitar semula adalah industri yang berkembang pesat dengan menggunakan pendekatan 'Waste to Wealth' dengan nilai RM476 juta pada 2005, dan melebihi RM600 juta pada tahun 2011," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment