My Add

Thursday 1 August 2013

Bekas peguam didakwa pecah amanah RM426,800

KUALA LUMPUR, RABU, 31 Julai, 2013: Seorang bekas peguam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan pecah amanah terhadap anak guamnya membabitkan RM426,800 enam tahun lalu.

Lee Cheng Theng, 56, didakwa melakukan kesalahan itu terhadap pasangan suami isteri Yue Leong Siew, 60, dan Ong Chiu Gek, 54, di RHB Bank Berhad, Cawangan Taman Midah, Jalan Midah 1, Cheras di sini pada 18 Oktober 2007.

Dia didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Haderiah Siri menawarkan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan yang memerlukan tertuduh melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap bulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Peguam S Ramesh yang mewakili tertuduh memohon jaminan itu dikurangkan kepada RM30,000 kerana tertuduh mempunyai dua anak yang masih belajar dan dia adalah penanggung tunggal keluarga.

"Tertuduh juga didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Isnin lalu dan dibenarkan diikat jamin dengan jaminan RM35,000. Pasportnya diserahkan di mahkamah itu," katanya.

Hakim Murtazadi Amran kemudiannya membenarkan Lee diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin dan perlu melapor diri di balai polis berdekatan pada minggu pertama setiap bulan.
Mahkamah menetapkan 30 Ogos untuk sebutan semula kes.

Pada Isnin lalu, Lee mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam terhadap tiga pertuduhan melakukan pecah amanah membabitkan lebih RM260,000. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment