My Add

Friday 23 August 2013

Ops Piramid 2: MAS lakukan tiga penerbangan

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 23 Ogos, 2013: Malaysia Airlines (MAS) akan menghantar pesawat A330-300 dalam tiga misi penerbangan membawa pulang pelajar Malaysia yang berada di negara bergolak, Mesir.

Penerbangan pertama pesawat MH8100 akan berlepas pada 11.10 pagi dari Kuala Lumpur pada Ahad (25 Ogos) dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah, Mesir pada 3 petang, waktu tempatan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAS Ahmad Jauhari Yahya berkata dua penerbangan lagi akan dilakukan masing-masing pada 26 dan 27 Ogos pada waktu yang sama.

"MH8100 akan membawa pegawai kerajaan Malaysia dan pasukan Operasi daripada Malaysia Airlines," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebagai syarikat penerbangan kebangsaan dan entiti korporat yang bertanggungjawab, beliau berkata MAS sentiasa bersedia untuk membantu kerajaan dalam memastikan rakyat Malaysia selamat pulang ke tanah air.

"Pasukan kami bekerja sepanjang masa untuk memastikan misi ini berjaya dan akan terus menyokong Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan kerajaan," katanya.

MKN merupakan badan penyelaras utama bagi misi menyelamat di Mesir.

Antara tugasnya ialah menentukan senarai penumpang yang akan menaiki pelbagai pengangkutan di Mesir.

Ahmad Jauhari berkata MAS membantu MKN untuk melicinkan proses pemindahan itu.

Pada tahun 2011, MAS terlibat secara aktif dalam misi menyelamat pelajar yang serupa dari Kaherah semasa pergolakan di negara itu. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment