My Add

Friday 16 August 2013

Mangsa diberi perlindungan

Oleh SHARAIMEI SHAIK AHMEDULLAH

PUTRAJAYA, KHAMIS, 15 Ogos, 2013: Wanita yang dibelasah suaminya dalam lif di sebuah hospital swasta di Bukit Mertajam, Pulau Pinang, kini diberi perlindungan sementara di rumah perlindungan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta menjalani khidmat kaunseling.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Rohani Abdul Karim berkata, wanita berusia 36 tahun itu serta dua anaknya yang berusia empat dan lima tahun ditempatkan di lokasi yang selamat sehingga polis selesai menjalankan siasatan.

"Perintah perlindungan sementara tersebut telah dikeluarkan oleh mahkamah hari ini dan kementerian akan bekerjasama dengan polis dalam membantu menyelesaikan kes berkenaan," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Laporan akhbar hari ini mendedahkan satu video berdurasi 2 minit 20 saat yang menggemparkan pengguna internet apabila memaparkan kejadian seorang isteri dibelasah teruk oleh suaminya di hadapan dua anak mereka yang masing-masing berusia empat dan lima tahun di dalam sebuah lif.

Video bertajuk Suami dayus pukul isteri depan anak turut menunjukkan aksi lelaki berkenaan menendang isterinya yang merupakan seorang pekerja kilang berusia 36 tahun sehingga tersungkur sebaik sahaja pintu lif terbuka.

Rohani berkata, selain memberi khidmat kaunseling kepada mangsa keganasan rumahtangga itu, pihaknya juga bercadang memberi perkhidmatan serupa kepada anak-anak mangsa yang menyaksikan kejadian tersebut.

Beliau seterusnya mengecam sekeras-kerasnya tindakan keterlaluan yang dilakukan oleh suami mangsa.

Katanya, lebih membimbangkan apabila perbuatan keterlaluan itu dilakukan di tempat awam dan di hadapan kanak-kanak yang boleh memberi kesan negatif kepada mereka.

Beliau turut menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan keganasan rumahtangga supaya melaporkan perkara itu ke talian Nur 15999.

"Dalam kes ini saya berterima kasih kepada pihak hospital yang mempunyai rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan pihak yang memuat naik video ini sebab ini menunjukkan masyarakat kita masih prihatin dan penyayang.

"Ini yang perlu digalakkan oleh masyarakat, saudara dan jiran tetangga untuk menggunakan talian aduan ini supaya kita dapat membantu mangsa keganasan ini dengan segera," katanya.

Katanya, talian tersebut bukan hanya untuk isteri dan anak-anak yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga, malah turut merangkumi suami, ibu dan bapa. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment