My Add

Friday 16 August 2013

Pemandu lori maut ditembak 2 lelaki bermotosikal

 
* BEBERAPA anggota polis membuat pemeriksaan di lokasi pemandu lori mati ditembak di hadapan Public Bank, Kapar, Klang, semalam.

KLANG, KHAMIS, 15 Ogos, 2013: Seorang pemandu lori maut akibat terkena dua das tembakan di pipi dan dada oleh dua lelaki bermotosikal di sebuah restoran di Jalan Besar Kapar di sini awal pagi ini, dipercayai mempunyai kaitan dengan pergaduhan antara kongsi gelap.

Kejadian pukul 2.15 pagi itu berlaku ketika S. Sambhath, 27, berbual bersama tiga rakannya sebelum terlihat kelibat dua lelaki memakai jaket hitam dan menaiki motosikal dalam keadaan mencurigakan.

Kesemua mereka kemudian beredar ke hadapan bangunan Public Bank di situ tetapi dihalang oleh dua buah kereta jenis Toyota Altis dan Proton Wira yang dipercayai rakan kepada dua lelaki terbabit.

Seorang daripada dua lelaki bermotosikal itu kemudian turun lalu melepaskan beberapa das tembakan ke arah mangsa dan rakan-rakannya yang cuba melarikan diri.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Utara, Supritendan Jani Ahmad ketika dihubungi berkata, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai bermotifkan dendam dan mangsa tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

"Mangsa yang dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah dengan kereta rakannya disahkan mati ketika dalam perjalanan.

"Kita akan menyiasat secara terperinci termasuk meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian dan milik bank bagi membantu siasatan.

"Polis tidak menjumpai sebarang senjata digunakan suspek di tempat kejadian. Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan," katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment