My Add

Thursday 22 August 2013

Mantapkan kawalan sempadan

Oleh MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB

TUMPAT, RABU, 21 Ogos, 2013: Kerajaan akan menyediakan empat unit alat pengimbas canggih di sepanjang Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Sungai Golok bagi memantapkan kawalan sempadan negara terutamanya mencegah aktiviti penyeludupan.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, empat unit alat pengimbas berkenaan yang dianggarkan bernilai RM16 juta akan ditempatkan di tiga laluan utama sempadan Malaysia-Thailand iaitu Pengkalan Kubor, Rantau Panjang dan Bukit Bunga.

Beliau berkata, walaupun CIQ kini dilengkapi alat pengimbas namun masih tidak memadai kerana jumlah kenderaan agak tinggi dan pengguna akan mengambil masa yang lama setiap kali menjalani pemeriksaan.

"Kita akan sediakan di setiap CIQ mesin pengimbas yang canggih dan mampu mengimbas seberapa cepat mana-mana kenderaan yang memasuki sempadan. Mesin pengimbas yang ada sekarang memakan masa dua jam itu pun hanya untuk sebuah lori.

"Dengan kelengkapan mesin pengimbas yang canggih, kita akan pastikan mengambil masa hanya lima hingga 10 minit sahaja bagi sebuah lori berbanding sebelum ini yang memakan masa yang lama," katanya.

Beliau berkata demikian pada pemberita selepas melawat Ibu Pejabat Polis Marin di Pengkalan Kubor hari ini.

Yang turut hadir, Panglima 8 Briged, Brigedier Jeneral Datuk Mohamad Zaki Hamzah; Pengarah Kastam Kelantan, Datuk Azis Yacub dan Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan negeri, Datuk Makhtar Mustapha.

Wan Junaidi berkata, bagi membendung aktiviti penyeludupan, pihak berkuasa akan mengadakan operasi bersepadu secara berterusan yang dilakukan oleh 14 agensi yang terlibat.

"Operasi secara berterusan akan diadakan tanpa mengikut masa dan musim seperti yang dilakukan sebelum ini bagi menangani kegiatan penyeludupan di sempadan negara.

Sementara itu, Wan Junaidi berkata, kerajaan negeri Kelantan diminta terus memberikan kerjasama kepada Kerajaan Persekutuan untuk menangani kegiatan penyeludupan dadah di negeri itu.

Menurutnya, kedua-dua pihak harus mengenepikan perbezaan politik dan perlu berbincang bersama untuk mengatasi masalah ini yang semakin meningkat pada setiap tahun.

Menurut beliau, sepanjang Sungai Golok yang menjadi sempadan Malaysia-Thailand terdapat kira-kira 150 pangkalan haram milik penduduk tempatan yang tidak dikawal dan menjadi penghubung untuk menyeberangi sempadan itu serta menyeludup dadah.

"Sempadan Kelantan tiada halangan fizikal seperti Perlis dan Kedah, jadi kita perlu lihat ini sebagai perkara yang perlu ditangani secepat mungkin walau polis dan Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) telah mengambil tindakan yang boleh dibanggakan tetapi masih mempunyai ketirisan disebabkan tiada halangan fizikal.

"Saya sudah berbincang dengan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob untuk fikir bagaimana kawasan rizab sungai ini dapat digunakan untuk membanteras penyeludupan dan saya juga berharap kerajaan negeri tidak melihat kerjasama ini dari kesan politik tetapi kesan keselamatan terutama dadah," katanya.

Wan Junaidi berkata, golongan muda di negeri ini amat terdedah kepada gejala pengedaran dadah dan jenayah kerana kurangnya peluang pekerjaan.

"Saya bimbang kerana majoriti anak muda berusia 19 sehingga 34 tahun terlibat dalam penagihan dan pengedaran dadah, ini adalah jangka umur yang produktif dalam pelajaran dan perkhidmatan tetapi hancur begitu sahaja.

"Saya minta kepada Menteri Besar supaya fikirkan bagaimana untuk menarik pelabur bagi menambah peluang pekerjaan kerana rata-rata anak muda tidak mahu bekerja di sektor perladangan dan pembinaan," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment