My Add

Wednesday 21 August 2013

MAS perlu dilindungi

Mohd. Fazil Abdullah 
KUALA LUMPUR, SELASA, 20 Ogos, 2013: Malaysia Airlines System Bhd. (MAS) mempunyai kepentingan awam dalam industri penerbangan negara yang perlu dilindungi dan tidak boleh diswastakan oleh kerajaan.

Pakar ekonomi, Prof. Dr. Mohd. Fauzi Mohd. Jani berkata, walaupun syarikat itu mengalami kerugian, beliau mendapati pelan pemulihan syarikat penerbangan itu berada dalam landasan tepat dengan aspek pengurusan boleh diperkukuhkan lagi.

"Saya setuju keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tentang kedudukan MAS kerana kita sudah nampak kerugian syarikat dikurangkan dan kita perlu memberi peluang dan ruang untuk inovasi dalam pengurusan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Najib semalam yang menegaskan MAS tidak akan diswastakan walaupun mengalami kerugian kerana pelan pemulihan sudah menampakkan hasil dengan jumlah kerugian yang dialami syarikat itu semakin berkurangan.

MAS adalah sebuah syarikat yang disenaraikan dan dikuasai oleh Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) serta kepentingan awam lain.

Menurut Mohd. Fauzi, MAS tidak boleh dibandingkan dengan syarikat-syarikat swasta lain yang mengutamakan keuntungan kerana syarikat itu perlu melihat aspek kebajikan serta kepentingan negara.

"Kita khuatir aspek kepentingan masyarakat umum dalam pengangkutan udara akan terjejas jika MAS diswastakan dan lebih rugi adalah jenama yang dibina oleh syarikat penerbangan itu selama ini kepada Malaysia," katanya yang juga Pengarah Pusat Pembangunan Keusahawan dan Perusahaan Kecil dan Sederhana, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Sementara itu, Presiden Dewan Ekonomi dan Sosial Muslim Malaysia (Desmma), Mohd. Fazil Abdullah berkata, langkah menjual MAS adalah tidak tepat kerana industri perkhidmatan penerbangan mempunyai pelbagai potensi besar dan peluang masa depan yang belum diterokai sepenuhnya.

"Saya menyokong langkah untuk tidak swastakan MAS ini kerana prestasinya semakin meningkat dan negara akan kehilangan jenama cukup mahal kerana syarikat itu sememangnya dikenali dengan layanan terbaik bertaraf dunia," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment