My Add

Wednesday 21 August 2013

Video Ustaz Wan Ji mahu hapus sistem beraja cetus kemarahan

KUALA LUMPUR, SELASA, 20 Ogos, 2013: Seakan-akan tidak berkesudahan, maruah serta kedaulatan raja-raja Melayu terus dicabar menerusi klip video terbaharu yang memaparkan perancangan pihak tertentu bagi menghapuskan secara total sistem kesultanan di negara ini.

Video bertajuk "[TERGEMPAR] Ust Wan Ji Hapuskan Sistem Sultan" yang dimuat naik pada Jun lalu di YouTube memaparkan seorang penceramah dikenali sebagai Ustaz Wan Ji sedang memberi penerangan tentang perancangan tersebut.

Sambil melakar peta perancangan di papan putih, 'ustaz' berkenaan dalam keadaan sedang memberikan penerangan, bercita-cita untuk menjadikan Malaysia sebagai negara republik dengan menghapuskan kuasa sultan pada 2030.

"Kita dah buat perancangan. Sebenarnya game ana (saya) ini awal lagi, 2011 dah ada. Apa ana punya game? Game ana, tahun yang pertama, ana nak buat game orang kata sultan syaitan. Mulut orang, syaitan, syaitan, syaitan dan terbukti berjaya. Game yang kedua, 2012 dan 2013, macam mana nak letup bagi gegar sikit?

"Mesti ada orang kena tangkap kerana faktor sultan. Maka lahirlah orang nama Aduka Taruna, Ahmad Abd. Jalil dan ada orang namanya, Wan Ji. Game tu dah berjaya, sekarang fikir game 2013. Apa nak buat? Itu aku tak boleh cerita. Maknanya, dia ada game step by step untuk mencapai kejayaan sultan zero. Inflasi sultan," katanya di dalam video tersebut.

Berdasarkan carian di internet, Wan Ji merupakan penulis blog http://82-g.blogspot.com/.

Di dalam blog berkenaan, terdapat artikel yang jelas menunjukkan kebenciannya kepada sistem kesultanan di negara ini.

Tidak terhenti di situ, Wan Ji turut menyifatkan sistem kesultanan negara ini membawa banyak kemudaratan berbanding kebaikan.

"Sultan, monarki ini ada baik sikit tetapi mudaratnya banyak. Hukum lebih kurang macam babi juga.

"Habis duit rakyat, mengarahkan sesuka hati, banyak dasar yang agak terbantut kerana faktor sultan, tak lantik Exco, menyusahkan orang, goyang kaki, pembaziran. Baik sikit je kot, nak jaga Melayu je," ujarnya di akhir klip video berkenaan.

Ternyata penyebaran klip video berkenaan mengundang kemarahan ramai dalam ruangan komen, selain dikongsi oleh individu di media-media sosial.

Salah seorang warga maya yang menggunakan nama gelaran 'apai ahpai' menulis di ruangan komen klip video berkenaan bagi mempersoalkan gelaran ustaz yang diberikan kepada Wan Ji dan meminta agar pihak berkuasa menarik kerakyatan penceramah tersebut.

"Ustaz apa macam ni? Orang macam ini jangan duduk di Malaysia. Buang kerakyatan," tegasnya.

Usaha Utusan Malaysia untuk menghubungi Wan Ji bagi mendapatkan penjelasan bagaimanapun gagal kerana dia tidak mengangkat telefon walaupun dihubungi lebih lima kali. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment