My Add

Tuesday 13 August 2013

Memaksimum peluang PKS dalam pasaran online

Oleh MASAYA UENO
MASAYA UENO ialah Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Rakuten Online Shopping.

LEBIH daripada 1.6 juta orang yang membeli-belah secara dalam talian (online) di Malaysia dan ia sudah tentu menjadikan internet sebagai peluang yang besar kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Sememangnya PKS kini mampu lebih berkembang dengan membawa perniagaan mereka ke pentas internet, hasil dari sokongan padu yang diberikan oleh kerajaan Malaysia.

Bajet 2013 tahun ini mengumumkan bahawa dana sebanyak RM1 bilion akan disediakan di bawah Skim Pembangunan PKS, yang akan diuruskan oleh SME Bank sebagai usaha untuk mempercepatkan pertumbuhan PKS serta memperkembangkan kawasan perindustrian di seluruh negara.

Kajian PayPal menunjukkan bahawa pasaran perdagangan online di Malaysia berkembang 9 peratus, iaitu daripada RM1.8 bilion pada tahun 2010 kepada RM1.97 bilion pada tahun 2011 . Dengan pertumbuhan yang berterusan dalam pasaran runcit secara online, ia amat mengejutkan apabila didapati bahawa hanya 15 peratus daripada PKS Malaysia mempunyai laman web, menurut Nielsen Research .

Golongan peniaga kecil seolah-olah beranggapan bahawa kegunaan internet adalah alat bagi perusahaan besar sahaja. Bagi peniaga kecil yang menginginkan pertumbuhan, saluran online menawarkan faedah yang besar; dari mendapatkan pelanggan baru hinggalah mempromosikan produk baru.

Dalam hal ini, perlu diingat bahawa perniagaan kecil-kecilan tidak perlu dilakukan sendirian kerana ruang niaga mampu membantu para peniaga dalam menjual secara online tanpa melibatkan kos penyelenggaraan dan pemasaran dalam mengendalikan laman web mereka sendiri.

Bagaimanapun, cara untuk mendapatkan pengalaman membeli-belah secara online sama seperti secara fizikal di kedai iaitu menjaga hubungan pelanggan yang setia masih amat penting. Berikut merupakan cara untuk menjual secara online melalui ruang niaga sedia ada:

* Menjana pelanggan online

Seumpama mempunyai lokasi utama di pusat beli belah yang terbesar, ruang niaga mampu menarik pelanggan ke perniagaan anda. Bukan hanya penjual ruang niaga mendapat manfaat melalui kepercayaan pengguna di dalam jenama pasaran, mereka turut mendapat faedah daripada trafik web yang menghasilkan usaha pemasaran ruang niaga sendiri.

Di samping itu, peniaga boleh menggunakan peluang daripada infrastruktur yang sedia ada, iaitu dari proses pembayaran siap pakai hinggalah ke skim kesetiaan pelanggan.

* Memantau koleksi produk anda

Seperti dunia fesyen utama yang berubah mengikut musim, begitu juga dengan dunia online dan tawaran di dalam perniagaan online anda harus mencerminkan ini. Gunakan perayaan bermusim seperti Hari Raya Aidilfitri dan Tahun Baru Cina untuk membina tema laman web online anda yang sesuai dan mampu menarik minat pelanggan untuk membeli produk anda secara online.

Dari pakaian dan kasut untuk kerja sehingga barangan keperluan rumah yang lain, promosi bermusim membolehkan anda mengajak pembeli untuk melihat produk-produk tertentu sekali gus membeli barangan yang diinginkan.

* Kekal bebas melalui proses pengubahsuaian identiti perniagaan

Anda akan menjenguk dan memasuki kedai-kedai yang tampak menarik kerana warna-warnanya yang terang dan berwarna-warni. Begitu juga dengan laman web yang bertindak sebagai paparan tetingkap anda. Jadi ia perlu mempunyai tarikan agar orang ramai akan 'klik' padanya.

Terdapat beberapa ruang niaga yang menawarkan pilihan mengikut tempahan khas untuk mengubahsuai laman hadapan online dan perkara ini perlu diambil kesempatan - dari pemilihan produk yang kelihatan lebih ketara hinggalah ke produk yang boleh mencerminkan warna jenama berbanding dari kedai di dunia nyata. Pengubahsuaian kedai online mengikut identitinya yang tersendiri membolehkan anda meluaskan lagi ruang fizikal kedai serta mengekalkan identiti jenama pada masa yang sama.

* Guna media sosial untuk mengaut keuntungan

Golongan peniaga tidak hanya boleh menggunakan tarikan koleksi untuk menarik minat pembeli, tetapi secara aktif boleh mempromosikan produk melalui saluran sosial untuk menarik minat pengikut setia jenama anda bagi mengetahui apa koleksi terbaru. Twitter dan Facebook adalah cara yang paling sesuai untuk digunakan sebagai bahan promosi dan ia boleh turut digunakan untuk memaparkan kegembiraan pelanggan.

Anda boleh melibatkan diri dengan mereka melalui media sosial selepas sesuatu pembelian dibuat, bertanya tentang pengalaman membeli-belah mereka dan menawarkan promosi khas serta diskaun untuk memastikan mereka kembali menggunakan jenama anda.

Berikan khidmat pelanggan yang cemerlang:

Para pembeli kini mahukan pengalaman yang penuh apabila membeli-belah secara online, bukan hanya sekadar sikap 'bayar dan pergi'.

Oleh itu, pengalaman yang penuh dalam membeli-belah secara online perlu dititik beratkan. Sebagai contoh, ramai peniaga menawarkan khidmat 'ambil di kedai' bagi memenuhi keperluan penghantaran kepada pelanggan mereka. Mendapatkan ulasan secara online dan memenuhi kehendak pelanggan adalah penting untuk menjaga hati pelanggan. Anda juga boleh menyediakan tip bagaimana untuk menyesuaikan pakaian, serta memberi pandangan kepada pembeli agar mereka akan terus membeli bersama anda. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment