My Add

Sunday 25 August 2013

Model Perodua paling murah

Oleh FAIZAH IZZANI
 
 *NAJIB bersalaman dengan kakitangan Perodua pada sambutan Gala Raya Sempena Ulang Tahun Ke-20 Perodua dan pelancaran Buku Coffee Table di Rawang, Selangor, semalam.
KUALA LUMPUR, SABTU, 24 Ogos, 2013: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (Perodua) bakal mengeluarkan sebuah lagi model kereta yang akan dijual pada harga paling rendah dan mampu milik tahun depan.

Perdana Menteri berkata, langkah itu adalah strategi yang dikekalkan Perodua bagi memastikan rakyat Malaysia terus menikmati kereta mampu milik yang berkualiti serta lengkap dengan ciri-ciri canggih dan selamat.

"Saya diberitahu Perodua akan kekalkan strategi pengeluaran kereta pada kos paling rendah dan model baharu tahun depan juga akan dijual dengan harga paling rendah," katanya.

Beliau berucap dalam majlis Gala Raya Sempena Ulang Tahun Ke-20 Perodua dan pelancaran Buku Coffee Table sebagai memperingati penubuhan syarikat itu di Rawang dekat sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, Pengerusi Perodua, Tan Sri Asmat Kamaludin dan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Aminar Rashid Salleh.

Sebelum itu, Najib diberi taklimat mengenai perkembangan dan strategi Perodua oleh pengurusan syarikat tersebut.

Najib berkata, langkah Perodua mengurangkan kos pengeluaran kereta buatannya adalah tepat kerana pada akhirnya memberi faedah menguntungkan kepada pengguna.

Menurut beliau, strategi secara sukarela oleh syarikat itu juga dapat menawarkan harga kereta yang lebih kompetitif pada masa kini.

''Dengan pasaran yang semakin kompetitif dan dasar liberalisasi ASEAN serta global, maka setiap syarikat automotif perlu mengkaji kos struktur perniagaannya supaya lebih efisien,'' katanya.

Najib berkata, Perodua telah menjadi jenama kereta nasional yang mempunyai potensi besar dalam dan luar negara kerana menawarkan produk pada harga praktikal dan mampu milik oleh semua rakyat Malaysia serta di rantau Asia Tenggara.

Beliau percaya dengan pembinaan kilang pengeluaran yang bakal siap tahun depan membolehkan Perodua mengeluarkan model-model kereta yang lebih berkualiti hasil penggunaan teknologi pembuatan canggih.

"Saya harap hasil daripada usaha ini juga Perodua dapat mengeksport lebih banyak unit kereta ke luar negara," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment