My Add

Wednesday 7 August 2013

MT: Idris dapatkan pandangan, nasihat daripada rakan-rakan

 * IDRIS Haron (tengah) beramah mesra dengan Azrulnizam Abd. Aziz di Seri Bendahara Ayer Keroh, Melaka, semalam.
MELAKA, SELASA, 06 Ogos, 2013: Ketua Menteri, Datuk Idris Haron belum membuat sebarang keputusan untuk menawarkan diri bertanding merebut jawatan Majlis Tertinggi (MT) pada pemilihan UMNO Oktober ini.

Menurut Idris, beliau memerlukan sedikit masa sebelum membuat keputusan untuk turut menawarkan diri bertanding jawatan MT.

''Saya perlu mendapat pandangan dan nasihat daripada semua pihak terutama rakan-rakan di peringkat Persekutuan dan negeri.

"Setakat ini, saya mendapat sokongan daripada cawangan UMNO di Tangga Batu yang mahu saya bertanding MT, jika di peringkat bahagian pun berpendirian yang sama, saya akan bertanding jawatan itu," katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri berkata demikian ketika ditemui Utusan Malaysia di kediamannya di Seri Bendahara di sini hari ini.

Terdahulu Idris menerima kunjungan Ketua Pegawai Eksekutif Al-Rajhi Bank, Datuk Azrulnizam Abd. Aziz.

Mengulas lanjut, Idris yang juga Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu berkata, beliau akan membuat keputusan untuk bertanding selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri nanti.

Beliau berkata, bagi pemilihan jawatan UMNO Bahagian Tangga Batu pula, ruang luas diberikan kepada semua ahli untuk merebut jawatan yang dipertandingkan.

Beliau yang akan mempertahankan jawatan disandangnya sejak 2004 itu berkata, tidak ada sebarang keistimewaan diberikan kepada sesiapa yang ingin bertanding.

Jelasnya, mengikut pindaan perlembagaan baharu UMNO, sesiapa yang merasakan layak boleh mendaftar sebagai calon pada 7 September ini.

''Saya menolak sebarang kompromi kerana adalah lebih baik peluang diberikan kepada mereka yang boleh mencurah tenaga demi mengangkat martabat bangsa, agama dan negara," katanya.

Katanya, jika ada persaingan, biarlah satu pertandingan yang sihat, tidak menggunakan wang sebagai ganjaran untuk meraih undi. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment