My Add

Saturday 3 August 2013

Muhammad Ziyad berhasrat pecah rekod dunia

 * JEANNE bdullah (tengah) menyampaikan sumbangan penghargaan kepada Muhammad Ziyad Zolkefli (kanan) sambil diperhatikan oleh Zainal Abu Zarin pada Majlis Meraikan Kejuaraan Atlet Lontar Peluru Para Negara sempena Kejohanan Olahraga Dunia Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) di Kompleks Sukan Bukit Jalil, Kuala Lumpur hari ini. - BERNAMA
KUALA LUMPUR, SABTU, 03 Ogos, 2013: Kejayaan meraih pingat emas pada kejohanan Olahraga Dunia Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) di Lyon, Perancis, bulan lepas dijadikan pembakar semangat untuk mencabar rekod dunia sukan lontar peluru kategori F20 lelaki.

Atlet paralimpik negara, Muhammad Ziyad Zolkefli, 23, berkata beliau kini lebih bersemangat untuk berlatih bagi mengatasi rekod dunia yang kini dipegang Todd Hodgetts dari Australia dengan lontaran 16.29 meter pada Temasya Sukan Olimpik London 2012.

"Semasa di Lyon beberapa kali lontaran saya dibatalkan disebabkan oleh masalah tertentu namun ianya tidak mematahkan semangat saya untuk memperbaiki rekod peribadi dan akhirnya saya berjaya menewaskan peserta lain," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima sumbangan penghargaan sebanyak RM5,000 daripada Persatuan Olahraga Para Malaysia (POPM) dan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) di Stadium Nasional, Bukit Jalil hari ini.

Sumbangan penghargaan tersebut disampaikan oleh Penaung MPM Tun Jeanne Abdullah dan Presiden POPM Datuk Zainal Abu Zarin.

Anak kelahiran Gombak, Selangor itu berkata catatan peribadi terbaiknya ketika latihan sekarang adalah diantara 15.7 dan 15.8 meter dan beliau berazam untuk mengatasi rekod dunia yang dipegang oleh Hodgetts pada apa-apa kejohanan yang akan datang.

"Selain daripada peserta negara Eropah saya juga perlu bersedia untuk menghadapi atlet paralimpik China pada temasya Sukan Para Asia di Incheon, Korea Selatan nanti kerana mereka sudah pasti mempunyai 'senjata sulit’ dan hanya mengeluarkan atlet paralimpik terbaik mereka di Incheon nanti.

"Bagi menghadapi cabaran tersebut saya akan berlatih secara bersungguh-sungguh bermula sekarang agar tidak jauh ketinggalan," katanya.

Pemenang pingat gangsa, Sukan Paralimpik London 2012 itu berkata kejohanan terdekat yang bakal disertainya adalah Sukan Para ASEAN di Naypyidaw, Myanmar hujung tahun ini. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment