My Add

Saturday 24 August 2013

UIAM perlu berperanan sebagai pemangkin

 *NAJIB menyaksikan majlis MoU di antara Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang diwakili oleh rektornya, Prof. Datuk Seri Dr. Zaleha Kamaruddin (kiri) dengan Gunung Land Sdn. Bhd. yang diwakili pengerusi eksekutifnya, Datuk Syed Abu Hussin Syed Abdul Fasal pada Pelancaran Kongres Pertama Sedunia Tentang Integrasi dan Islamisasi Ilmu Pengetahuan Akliah Manusia (FWCII-2013) dan Bandar Islam UIAM di Kuala Lumpur, semalam. - BERNAMA
KUALA LUMPUR, JUMAAT, 23 Ogos, 2013: Datuk Seri Najib Tun Razak mahu melihat Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) memainkan peranan sebagai pemangkin dalam usaha menyatupadukan umat Islam di seluruh dunia.

Perdana Menteri berkata, seruan ke arah perpaduan ummah amat diperlukan dan bertepatan dengan situasi semasa yang dihadapi negara-negara Islam yang berpecah-belah akibat konflik dalaman.

Dalam masa sama, beliau mahu UIAM menyediakan asas dan dorongan intelektual kepada pemimpin negara-negara Islam untuk bersama-sama mencari penyelesaian serta tidak membiarkan kepentingan-kepentingan lain menjadi penghalang sesama ummah.

"Yang paling penting ialah kita semua merupakan hamba Allah SWT di atas muka bumi ini dan kita wajib memimpin seperti yang dikehendaki-Nya," katanya.

Beliau berucap merasmikan Kongres Antarabangsa Tentang Integrasi dan Islamisasi Ilmu Kemanusiaan (FWCII) 2013 dan melancarkan Bandar Islamik di Dewan Utama, Pusat Aktiviti Kebudayaan UIAM, Gombak dekat sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir, Presiden UIAM, Tan Sri Dr. Rais Yatim, Rektor UIAM, Prof. Datuk Seri Dr. Zaleha Kamaruddin dan Pengerusi FWCII 2013, Prof. Tan Sri Dr. Mohd. Kamal Hassan.

Najib sebelum itu menunaikan solat Jumaat bersama kira-kira 3,000 warga UIAM di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah di kampus universiti tersebut dan menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MOU) projek Bandar Islamik, Gombak antara UIAM dan Gunung Land Sdn. Bhd..

Beliau melontarkan saranan itu selepas menyifatkan khutbah Jumaat yang disampaikan Pengarah Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Prof. Madya Dr. Majdan Alias yang menyeru umat Islam bersatu-padu dengan mengetepikan segala perbezaan yang ditimbulkan oleh amalan politik sektarian sebagai amat relevan dengan konteks semasa ummah.

Dalam majlis sama, Najib turut mengisytiharkan UIAM sebagai Universiti Islam Antarabangsa Premier dan yakin pengiktirafan tersebut akan menjana diskusi intelektual berhubung penyatuan rakyat Malaysia.

"UIAM juga berupaya mendorong usaha mengarusperdanakan ajaran-ajaran Islam tentang kesederhanaan dalam agama, ekonomi dan politik dalam abad ke-21," ujarnya.

Berhubung projek Bandar Islamik, beliau memberitahu, bandar berkenaan bakal menjadi testimoni perkembangan Malaysia sebagai sebuah negara moden yang benar-benar menerapkan nilai-nilai kesederhanaan Islam.

Najib menjelaskan, projek seluas 7.15 hektar di kawasan pinggiran kampus UIAM itu menonjolkan konsep kontemporari seni bina moden berlandaskan kepada tamadun Islam khususnya menerusi model kota-kota ternama seperti Madinah, Damsyik, Baghdad dan Cordoba.

"Tamadun Barat akhir-akhir ini telah menukarkan sebahagian besar suasana kehidupan desa kepada keadaan hiruk-pikuk kehidupan bandar dalam dunia moden.

"Kini tiba masanya untuk kita kembali kepada konsep pembinaan bandar yang diinspirasikan oleh Islam dan bebas daripada segala pencemaran budaya," katanya.

Beliau juga percaya reka bentuk dan fungsi Bandar Islamik yang unik akan menjadi penanda aras baharu dalam bidang seni bina Islam serta berharap lebih banyak institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di negara ini melaksana inisiatif serupa. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment