My Add

Saturday 3 August 2013

Nazri yakin The New Village tidak akan ditayang

PADANG RENGAS, SABTU, 03 Ogos, 2013: Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz yakin filem The New Village tidak akan ditayangkan langsung walaupun hanya ada sedikit menampakkan kemiripan untuk mengagung-agungkan perjuangan komunis.

Beliau yang juga Menteri Pelancongan dan Kebudayaan berkata, larangan tayangan itu bukan setakat di panggung wayang malah meliputi semua bentuk media termasuk laman blog dan YouTube.

Katanya, kerajaan tidak mahu memberikan isyarat yang salah kepada generasi baru negara seolah-olah perjuangan komunis diberikan penghargaan di Malaysia.

"Saya dan rakan-rakan dalam UMNO, kita akan berterus-terusan dan berhabis-habisan memastikan apa jua bentuk pendewaan terhadap komunisme ini tidak akan dilaksanakan.

"Jika didapati betul filem ini mendewa-dewakan komunisme, kita mahu ia tidak dipertontonkan langsung. Sekalipun keluar dalam blog dan YouTube, kita akan cari mereka sampai dapat," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Program Ihsan Ramadan dan Aidilfitri Peringkat Parlimen Padang Rengas di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai desakan banyak pihak supaya filem The New Village tidak ditayangkan kerana mengagung-agungkan perjuangan Parti Komunis Malaya (PKM).

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Padang Rengas itu berkata, filem atau apa jua bentuk penghargaan terhadap pengganas komunis tidak boleh diberikan tempat di negara ini kerana kumpulan itu telah mengisytiharkan perang terhadap negara sehingga menyebabkan darurat dari 1948 hingga 1960. - UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment