My Add

Friday 16 August 2013

Tangguh perjalanan ke Mesir

PUTRAJAYA, KHAMIS, 15 Ogos, 2013: Kementerian Luar menasihatkan semua rakyat Malaysia yang berhasrat berkunjung ke Mesir menangguhkan sementara perjalanan ke negara tersebut berikutan keadaan huru-hara dan tidak terkawal akibat pergolakan politik di sana.

Menterinya, Datuk Seri Anifah Aman berkata, penuntut Malaysia yang sedang bercuti di tanah air juga dinasihatkan memeriksa semula jadual akademik universiti masing-masing sekiranya terdapat perubahan sebelum pulang ke Mesir.

"Bagi penuntut Malaysia yang masih di Mesir dinasihatkan supaya sentiasa menghubungi kedutaan kita di sana.

"Kedutaan kita di Kaherah telah menasihatkan semua rakyat Malaysia di sana mematuhi panduan keselamatan yang ditetapkan pihak keselamatan Mesir dan termasuk arahan berkurung di kawasan konflik oleh pihak kedutaan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Anifah, sehingga hari ini, semua rakyat Malaysia di sana dilaporkan selamat.

Katanya, rakyat Malaysia boleh menghubungi bilik gerakan Kedutaan Malaysia di sana di talian 00-2-02-37610270 atau 02-3760735/ 02-37610013 sambungan 140 atau emel ke malcairo@kln.gov.my untuk mendapatkan maklumat terkini.

Dalam pada itu, katanya, Malaysia turut melahirkan rasa dukacita dan simpati terhadap pertumpahan darah yang berlaku di negara tersebut.

Katanya, Malaysia menentang sebarang bentuk keganasan bagi menyelesaikan konflik dan berharap semua pihak mengawal tindakan masing-masing dan kembali semula ke meja rundingan secepat mungkin.

"Kita sedih dengan keadaan di sana sekarang yang telah mengorbankan ratusan nyawa dan mencederakan ribuan yang lain, di samping kerosakan harta benda.," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment