My Add

Friday 2 August 2013

Pemerintah Mesir akan bersih lokasi perhimpunan

 * PARA penyokong bekas Presiden Mesir, Mohamed Morsi berarak dari masjid Al-Fath menuju ke bangunan Kementerian Pertahanan di Kaherah, kelmarin. Mereka berikrar akan meneruskan protes sehinggalah kuasa Morsi dikembalikan.
KAHERAH, KHAMIS, 01 Ogos, 2013: Kabinet Mesir kelmarin mengarahkan polis mengambil tindakan keras untuk menyuraikan protes penyokong setia bekas Presiden Mesir, Mohamed Morsi.

Arahan kepada menteri dalam negeri itu meningkatkan lagi kemungkinan tercetusnya pertempuran berdarah, selepas 82 orang maut semasa bantahan pro-Morsi di sini beberapa hari lalu.

Perkara tersebut dibuat ketika beberapa wakil dari Eropah tiba di Kaherah bagi meredakan ketegangan di antara tentera pemerintah dan kumpulan Islam.

Pengumuman kabinet tersebut hadir menerusi satu kenyataan yang menyatakan bahawa kem-kem yang menempatkan penyokong Morsi di dua dataran di sini memberi ancaman kepada keselamatan negara.

"Situasi berbahaya yang berterusan di dataran Rabaa al-Adawiya dan Nahda, keganasan serta sekatan jalan raya tidak boleh diterima lagi, memandangkan ia memberi ancaman kepada keselamatan nasional," kata kenyataan itu.

Sementara itu, para penyokong Morsi dilapor berikrar untuk menentang arahan menyuraikan protes tersebut.

"Tiada apa yang akan berubah," kata jurucakap Ikhwanul Muslimin, Gehad El-Haddad.

Kumpulan penyokong Morsi berkata, mereka akan mengadakan perarakan berskala besar pada hari ini. Selain mengutuk perintah yang diberikan kepada polis bagi menamatkan bantahan di Kaherah.

"Gabungan yang menentang rampasan kuasa menyeru semua rakyat untuk mengadakan protes secara aman di Mesir," kata satu kenyataan gabungan penyokong setia Morsi.

Gabungan tersebut juga menggesa tentera dan polis tidak menembak rakyat Mesir.

Lebih 250 orang terkorban sejak tentera menggulingkan Morsi pada 3 Julai lalu berikutan protes besar-besaran di seluruh negara. - AFP/KOSMO!

No comments:

Post a Comment