My Add

Tuesday 13 August 2013

Peminat astronomi tidak lepas peluang saksi hujan meteor

 * ORANG ramai merakamkan detik bersejarah pancuran meteor di Baitul Hilal Port Dickson, Negeri Sembilan, malam tadi.
TELOK KEMANG , ISNIN, 12 Ogos, 2013; Lebih 50 peminat astronomi berkumpul di Baitul Hilal Port Dickson dekat sini, malam ini bagi menyaksikan juraian meteor Perseids di ruang angkasa.

Presiden Kelab Astronomi Amatur Malaysia, Shahrin Ahmad berkata, pancuran meteor itu mula kelihatan sejak pukul 11.30 malam selepas bulan terbenam dan dijangka berpanjangan hingga subuh esok.

Beliau yang juga pengasas portal falakonline berkata, jika cuaca baik, orang ramai bakal menyaksikan dengan mata kasar kira-kira 100 meteor itu dalam tempoh sejam.

"Juraian meteor Perseids berlaku apabila bumi melintas laluan komet Swift-Tuttle," katanya kepada Utusan Malaysia di sini malam ini.

Menurutnya, radiant atau titik asal kemunculan meteor Perseids ialah daripada sebuah buruj bernama Perseus yang terletak di langit sebelah utara.

Jelasnya, buruj Perseus akan terbit di ufuk sebelah Timur Laut sekitar pukul 2 pagi dan semakin tinggi dan mudah kelihatan menjelang subuh.

"Meteor ini tidak mendatangkan bahaya kepada kehidupan bumi kerana terdiri daripada debu, ais dan habuk yang terbakar semasa bergesel dengan lapisan bumi.

"Orang ramai perlu merebut peluang menyaksikan fenomena angkasa ini yang membolehkan kita menghargai kehidupan ini," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment