My Add

Wednesday 14 August 2013

Peniaga nasi kukus maut ditembak

Oleh ISWAN SHAFIQ MAT ISA
 
 
DUNGUN, SELASA, 2013: 13 Ogos - Seorang peniaga nasi kukus maut dengan dua kesan tembakan di dada dan bahu dalam satu kejadian samun di tempat letak kereta berhadapan premis perniagaannya di Jalan Besar Kampung Cacar, Paka di sini awal pagi ini.

Kejadian dipercayai berlaku kira-kira pukul 4.30 pagi ketika mangsa, Mohd. Lutfi Mansor, 50, baru menutup kedai dan bersiap untuk pergi ke bank bagi urusan penyimpanan wang hasil perniagaan yang menjadi rutin hariannya.

Mayat mangsa ditemui dalam keadaan tertiarap dan berlumuran darah oleh adik iparnya, Mohd. Zulrophia Umar, 21, kira-kira tiga jam kemudian sebelum dia memaklumkannya kepada isteri mangsa, Norzuedawati Umar, 25.

Peniaga itu dipercayai ditembak ketika menuju ke trak pikap jenis Toyota Hilux miliknya yang dilarikan penjenayah bersama beberapa barang dalam kenderaan termasuk beg tangan, kasut serta telefon bimbit.

Bagaimanapun satu ikat wang kertas masih terdapat dalam poket baju lengan pendek yang dipakai mangsa.

Mayat peniaga itu dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu untuk bedah siasat.

Norzuedawati ketika ditemui berkata, dia baru bangun dari tidur ketika dimaklumkan mengenai kejadian menimpa suaminya itu.

"Arwah suami saya tidak mempunyai musuh selama ini. Dia sangat baik dengan semua orang dan suka menderma.

"Apa pun saya anggap ini semua ini sebagai dugaan kepada keluarga kami," katanya.

Selain Norzuedawati, mangsa turut meninggalkan dua orang anak yang masih kecil iaitu Mohammed Mansoruedin, 5, dan Nor Balqis Bazilla, tiga bulan.

Dalam pada itu Norzuedawati berkata, jenazah suaminya mungkin akan dikebumikan di Kampung Pulau Rusa, Kuala Terengganu, berhampiran kubur arwah bapanya.

"Saya tak sangka kejadian ini boleh menimpa keluarga saya. Kedai kami baru dibuka beberapa hari lalu iaitu selepas hari raya kedua," katanya merujuk kepada Kedai Nasi Kukus Paka 3 milik suaminya itu. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment