My Add

Friday 2 August 2013

Pergerakan Syiah di Satun menular ke Perlis

 Abdul Fatah
PADANG BESAR, JUMAAT, 02 Ogos, 2013: Yang Dipertua (YDP) Majlis Agama Islam Satun, Thailand Abdul Fatah Mu-hammadiah akui terdapat penduduk di wilayah itu berfahaman Syiah, namun pihaknya sukar kenal pasti sejauh mana penyebaran fahaman itu menular hingga ke Perlis.

Kata Abdul Fatah kerajaan Thailand tidak menyekat aktiviti penyebaran fahaman itu seperti yang dilakukan di negara ini.

“Kami sedar berlaku penyebaran Syiah biarpun kami tidak mempunyai kuasa untuk mengekang penyebarannya.

“Fahaman Syiah sekarang menular di dua kampung wilayah ini iaitu di Kampung Ban Thung dan Kampung Che Long apabila ada bantuan dari kedutaan sebuah negara Asia Barat terhadap golongan petani dan nelayan di sana.

“Orang dari kedutaan tersebut banyak membantu mereka contohnya membeli bot serta pukat untuk nelayan, malah mereka juga mempunyai masjid yang dipercayai dibina hasil bantuan kedutaan negara itu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis berbuka puasa bersama Menteri Besar Perlis, Azlan Man serta kerajaan Wilayan Satun dan Songkla di sini malam, kelmarin.

Katanya, setakat ini lebih enam puluh orang di setiap kampung itu dikatakan berfahaman Syiah.

Sebelum ini Mufti Perlis Datuk Dr Juanda Jaya berkata, ajaran Syiah yang disebarkan ke negeri ini melalui selatan Thailand terutama dari wilayah Satun disyaki kembali bergiat aktif di Mata Ayer, di sini, sekali gus memerlukan pemantauan lebih ketat dilaksanakan agensi berkaitan.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Sempadan Negeri, Ahmad Bakri Ali yang turut ditemui di majlis yang sama berkata pihaknya ada menerima maklumat dari Pejabat Mufti serta Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenai penyebaran Syiah ke sempadan negeri itu.

“Kita sekarang sukar untuk membezakan antara umat Islam yang berfahaman Syiah kerana mereka tidak mengamalkannya secara terangan jadi apa yang boleh kita lakukan bersama Majlis Agama Islam Negeri adalah mengawal dengan memberi pendedahan kepada umat Islam tempatan bahawa ajaran fahaman Syiah adalah salah dan bertentangan dengan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah,” katanya. - Sinar Harian

No comments:

Post a Comment