My Add

Wednesday 14 August 2013

Perkasa sokong tindakan UiTM

Oleh NAZMIL NASIRUDDIN

PUTRAJAYA, SELASA, 13 Ogos, 2013: Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menyokong tindakan Universiti Teknologi Mara (UiTM) melonggarkan kemasukan lepasan matrikulasi, asasi dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) ke universiti tersebut bagi program diploma.

Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali berkata, kelonggaran khas itu merupakan platform terbaik untuk pelajar melanjutkan pengajian setelah gagal menempatkan diri ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Sehubungan itu, beliau berkata, tidak perlu timbul isu tindakan tersebut hanya menjatuhkan taraf UiTM kerana menerima pelajar yang tercicir.

"Persepsi negatif itu perlu dibuang kerana peluang harus diberikan kepada mereka yang kebanyakannya terdiri daripada pelajar-pelajar Melayu dari luar bandar.

"Janganlah memperlekehkan tindakan yang mahu memperjuangkan nasib anak bangsa, lagi pun mereka ini diberi peluang untuk melanjutkan pengajian di peringkat diploma bukannya ijazah," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan media pada Ahad lalu mengenai tindakan UiTM melonggarkan kemasukan lepasan matrikulasi, asasi dan STPM ke universiti tersebut.

Ahad lalu, Naib Canselor UiTM, Prof. Tan Sri Dr. Sahol Hamid Abu Bakar berkata, golongan terbabit boleh menghantar surat rayuan secara terus kepadanya di Pejabat Naib Canselor UiTM Shah Alam dengan menyertakan keputusan peperiksaan yang diperoleh.

Tindakan UiTM tersebut secara tidak langsung mengundang pandangan negatif daripada sesetengah pihak yang mendakwa kelonggaran khas itu hanya akan menjatuhkan taraf universiti tersebut.

Menurut Ibrahim, tindakan itu sepatutnya perlu dilihat daripada sudut positif iaitu dapat mengubah nasib pelajar berkenaan di masa hadapan.

"Sebenarnya, tidak perlu timbul isu kualiti kerana UiTM seperti sedia maklum telah melahirkan ramai siswazah berjaya dan ada di antara mereka kini memegang jawatan penting dalam sektor korporat.

"Mereka ini dahulunya ada yang hanya memperoleh dua prinsipal dalam STPM dan pangkat tiga dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebelum berjaya meneruskan pengajian ke peringkat ijazah, sarjana malah doktor falsafah (Ph.D)," katanya.

Tambah Ibrahim, lepasan UiTM juga sudah terbukti mampu bersaing dengan lepasan IPTA lain apabila mereka memasuki alam pekerjaan dan mampu menghasilkan inovasi dalam pelbagai bidang. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment