My Add

Saturday 17 August 2013

Presiden UMNO dicadang diberi kuasa lantik 3 Naib Presiden

PENAMPANG, SABTU, 17 Ogos, 2013: Ketua UMNO Penampang, Datuk John Ambrose mencadangkan agar Perlembagaan UMNO dipinda bagi memberi kuasa kepada presiden parti melantik tiga Naib Presiden UMNO.

Ini menjadikan enam Naib Presiden kesemuanya, termasuk tiga yang dipilih melalui proses pengundian atau pemilihan parti.

John berkata: "UMNO kini menjadi parti yang besar dengan keanggotaannya menjangkau angka juta. Di samping itu cabaran kita dalam pilihan raya umum ke-14 juga amat mencabar.

"Sebab itu, kita memerlukan lebih ramai leftenan (naib presiden) bagi membantu jeneral (Presiden UMNO atau Perdana Menteri) menghadapi cabaran PRU14.

"Ini bukan sesuatu yang baru kerana parti komponen Barisan Nasional (BN) yang lain pun ada yang mempunyai peruntukan perlembagaan seumpama ini," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita pada Rumah Terbuka Aidilfitri Ketua Pemuda UMNO Penampang, Hafiz Sua Abdullah di sini semalam.

John berkata, dengan kuasa Presiden melantik tiga Naib Presiden diyakini dapat mengurangkan pergeseran politik untuk merebut tiga lagi jawatan naib presiden melalui proses pemilihan parti. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment