My Add

Sunday 25 August 2013

PTPTN: RM50.5 bilion biayai pelajar

Oleh RADHUAN HUSSAIN

KUALA TERENGGANU, SABTU, 24 Ogos, 2013: Kerajaan memperuntukkan sejumlah RM50.52 bilion di bawah pembiayaan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) untuk keperluan 2.24 juta peminjam sejak 16 tahun kewujudan perbadanan itu hingga 31 Julai lalu.

Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, peruntukan itu disediakan sebagai usaha murni kerajaan bagi memastikan kelestarian dan proses pendemokrasian pendidikan terus berjalan lancar dengan harapan tiada pelajar ketinggalan daripada menikmati peluang meneruskan pengajian.

Beliau memberitahu, bagi tujuan itu, kerajaan menyediakan peruntukan perbelanjaan antara RM5 bilion dan RM6 bilion setahun bagi PTPTN membantu pelajar yang memerlukan.

Pada masa sama katanya, PTPTN sentiasa meningkatkan usaha dan pelbagai insentif menerusi pendekatan positif bagi menggalakkan para peminjam tidak lari daripada membayar pinjaman masing-masing.

Menurut beliau, sebagai hasilnya, jumlah kutipan telah meningkat dari tahun ke tahun iaitu RM553 juta pada 2009 diikuti RM638 juta (2010), RM737 juta (2011) dan RM800 juta (2012) manakala sehingga 31 Julai lalu, sejumlah RM4.32 bilion berjaya dikutip membabitkan 880,595 peminjam.

"PTPTN telah lakukan bermacam insentif dan kutipan telah meningkat dari tahun ke tahun antaranya memberi diskaun 20 peratus kepada mereka yang bayar sekali gus, diskaun 10 peratus untuk bayar lengkap, skim simpanan dan hadiah kereta Proton Preve dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis Penyerahan Wang Pendahuluan Pembiayaan (WPP) dan Perasmian Pejabat PTPTN Terengganu hari ini.

Dalam majlis penyerahan WPP itu, peruntukan kira-kira RM3.9 juta disediakan untuk seramai 2,608 pelajar dari Besut, Dungun, Kuala Terengganu, Marang dan Setiu.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Inovasi dan Tugas-Tugas Khas negeri, Ghazali Taib dan Ketua Eksekutif PTPTN, Agos Cholan.

Terdahulu, dalam ucapannya, beliau menarik perhatian, setiap tahun, lebih 200,000 pelajar yang berjaya melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi awam dan swasta berpeluang menikmati kemudahan pinjaman PTPTN.

Katanya, sehingga 31 Julai lalu, sebanyak 644,144 waran WPP ditunaikan dengan jumlah RM947.62 juta manakala penyerahan WPP di seluruh negara bagi sesi kemasukan September tahun ini meliputi peruntukan sebanyak RM73.6 juta dengan membabitkan 49,075 pelajar. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment