My Add

Tuesday 20 August 2013

Raja Nong Chik perlu fail jawapan pembelaan 16 September

KUALA LUMPUR, ISNIN, 19 Ogos, 203: Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin perlu memfailkan jawapan kepada pernyataan pembelaan yang telah dikemukakan oleh Nurul Izzah Anwar dan pemilik portal berita Malaysiakini bersama wartawannya yang disaman oleh bekas Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar itu di Mahkamah Tinggi di sini.

Raja Nong Chik memfailkan writ saman dan pernyataan tuntutan itu pada 17 Julai lalu rentetan daripada tuduhan Nurul Izzah berhubung urus niaga pembelian 4.85 hektar tanah bernilai tinggi di Bukit Kiara.

Peguam M. Reza Hassan yang mewakili Raja Nong Chik memberitahu pemberita, tarikh tersebut ditetapkan oleh Hakim Datin Yeoh Wee Siam ketika pengurusan kes itu di kamar hakim hari ini.

Menurut Reza, Hakim Wee Siam juga mengesyorkan, jika pihak-pihak yang terlibat dalam kes saman itu mahu menyelesaikan kes tersebut di luar mahkamah, boleh berbuat demikian melalui proses mediasi.

Mahkamah juga menetapkan 17 September ini bagi lanjutan pengurusan kes itu.

Reza berkata, Nurul Izzah, syarikat Mkini Dotcom Sdn. Bhd. dan wartawannya, Lu Wei Hoong yang dinamakan sebagai pihak defendan telah memfailkan pernyataan pembelaan masing-masing pada 2 September lalu.

Dalam pernyataan tuntutannya, Raja Nong Chik selaku plaintif menyatakan, Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu pada 4 Mei lalu telah mendakwa kononnya beliau terlibat dengan urusan pindah milik tanah milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Bukit Kiara yang telah diberikan kepada Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP).

Beliau juga mendakwa, pernyataan fitnah kedua pula telah dibuat oleh Nurul Izzah, Malaysiakini dan wartawannya itu serta diterbitkan di laman web www.malaysiakini.com pada tarikh yang sama bertajuk, Nurul persoal RNC dalam urus niaga RM475 juta (Artikel Malaysiakini pertama).

Pihak defendan seterusnya menurut plaintif, dengan niat jahat menerbitkan kenyataan fitnah ketiga yang merujuk kepada beliau bertajuk, Nurul queries Nong Chik's role in RM475mil deal (Artikel Malaysiakini kedua).

Bekas menteri Kabinet itu juga menyatakan, perkataan-perkataan tersebut secara langsung dan tidak langsung merujuk kepada beliau.

Menurut plaintif, pihak defendan menyatakan, perkataan-perkataan itu membawa maksud antaranya, beliau tidak jujur, terlibat dalam kegiatan rasuah dan tidak boleh dipercayai.

Fitnah tersebut menurut plaintif menyebabkan, reputasi dan maruahnya sebagai ahli politik terjejas ekoran dipandang hina kerana kononnya telah terlibat dalam transaksi yang meragukan serta merugikan rakyat.

Justeru itu, Raja Nong Chik selain menuntut ganti rugi teruk dan teladan, turut memohon perintah injunksi agar pihak defendan tidak menerbitkan sebarang perkataan fitnah serta perintah memaksa mereka membuat permohonan maaf berdasarkan terma yang dipersetujui oleh beliau. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment