My Add

Monday 26 August 2013

Siasatan nahas bas Genting Highlands hampir selesai

KUALA LUMPUR, AHAD, 25 Ogos, 2013: Siasatan polis berhubung nahas membabitkan bas ulang-alik yang mengorbankan 37 nyawa di Genting Highlands pada Rabu lalu akan selesai tidak lama lagi.

Siasatan fizikal terhadap bas berkenaan oleh beberapa agensi seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Puspakom Sdn. Bhd. telah selesai dijalankan dan polis sedang menunggu hasil siasatan melibatkan aspek teknikal.

Ketua Polis Daerah Bentong, Supritendan Mohd. Mansor Mohd. Noor berkata, polis telah mula merakam percakapan saksi serta mangsa yang terselamat dalam nahas ngeri itu.

Katanya, beberapa orang mangsa telah ditemui pegawai penyiasat di tiga buah hospital yang merawat mereka manakala mangsa selebihnya akan dirakamkan percakapan sebaik sahaja keadaan mereka benar-benar stabil.

"Mangsa yang boleh bercakap dan stabil telah mula dirakam percakapan manakala mangsa yang masih trauma atau yang tidak mendapat kebenaran hospital, kita akan rakam kemudian.

"Setakat ini siasatan fizikal terhadap badan bas hampir 100 peratus selesai. Kita hanya menunggu laporan siasatan dari sudut teknikal sahaja," katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat mangsa di Hospital Kuala Lumpur (HKL) hari ini.

Dalam kejadian pukul 2.24 petang itu, sebanyak 37 orang maut manakala 16 cedera selepas bas yang dalam perjalanan dari Genting Highlands ke ibu negara terjunam ke dalam gaung sedalam 60 meter di Kilometer 3.6 Jalan Genting Highlands-Kuala Lumpur.

Mengulas lanjut, Mohd. Mansor memberitahu, pihaknya akan mendapatkan keterangan pengusaha bas selepas laporan berhubung siasatan terhadap kenderaan itu diterima.

"Walaupun pemandu bas terlibat sudah meninggal dunia dalam nahas itu, polis akan menyemak rekod dan identitinya. Ini akan membantu kita mengetahui punca kemalangan itu," katanya.

Mohd. Mansor memberitahu, kesemua 37 mayat telah dicam dan hanya lapan daripadanya belum dituntut oleh waris masing-masing. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment