My Add

Wednesday 14 August 2013

Skuad Ninja diaktifkan semula cegah jenayah

 *PASUKAN polis yang dikenali dengan Skuad Ninja Bermotosikal dan Basikal Ronda Riadah sedia menjalankan tugas rondaan bagi mencegah jenayah di kawasan Johor Bahru Selatan, baru-baru ini.
JOHOR BAHRU, SELASA, 13 Ogos, 2013: Skuad Ninja yang ditubuhkan bagi membanteras kegiatan jenayah terutama jenayah jalanan, kini diaktifkan semula di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan (JBS).

Skuad tersebut yang ditubuhkan pada 2008 bagi memantau kawasan di bawah tanggungjawab IPD JBS itu, kurang aktif sejak empat bulan lalu kerana memberi tumpuan kepada Unit Rondaan Bermotosikal (URB).

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Zainuddin Yaacob berkata, skuad berkenaan diaktifkan semula dalam usaha memperhebatkan tugas polis membendung jenayah di kawasan terlibat.

"Skuad ini bukan sahaja membantu membanteras kegiatan jenayah jalanan, malah turut memantau penunggang motosikal terutama yang sering melanggar peraturan jalan raya dan menunggang secara berbahaya.

"Mereka ini juga sudah membuktikan keupayaan skuad apabila berjaya membantu menurunkan kadar jenayah jalanan sebanyak 45 peratus bagi kawasan di bawah tanggungjawab IPD JBS," katanya.

Beliau menyatakan demikian selepas melancarkan semula Skuad Ninja Bermotosikal dan Basikal Ronda Riadah di sini baru-baru ini.

Skuad Ninja IPD JBS terdiri daripada 10 anggota dan pegawai yang mempunyai pengalaman luas dan berkemahiran tinggi.

Mereka menggunakan motosikal jenis Kawasaki KLX 250cc berwarna hijau dan kelibat anggota skuad ini juga mudah dilihat kerana memakai jaket berwarna terang ketika membuat rondaan mencegah jenayah di kawasan terlibat.

Setiap ahli juga dilengkapkan dengan aksesori keselamatan termasuk pad kaki serta tangan dan topi keledar.

Beliau berkata, buat masa ini, skuad itu akan ditempatkan di beberapa lokasi yang sudah dikenal pasti antaranya Taman Pelangi, kawasan pusat bandar raya Johor Bahru, Permas dan Larkin.

"Dengan kewujudan semula skuad ini, kita harap jenayah jalanan dicatatkan IPD JBS dapat dikurangkan selain mereka juga dapat bersama-sama bertukar maklumat dengan URB dalam usaha memberikan persekitaran selamat di sini," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment