My Add

Saturday 3 August 2013

SSM tamat rundingan rang undang-undang 10 Ogos

 * HASAN Malek beramah mesra dengan sebahagian anak yatim, ibu tunggal dan warga emas selepas menyampaikan duit raya dalam majlis berbuka puasa di Kuala Pilah, Negeri Sembilan, semalam.
KUALA PILAH, JUMAAT, 02 Ogos, 2013: Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) akan menamatkan rundingan awam draf rang undang-undang syarikat dan skim kepentingan yang dijalankan antara sektor korporat dengan orang awam, 10 Ogos ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hasan Malek berkata, kedua-dua rang undang-undang baharu itu dicadangkan bagi memodenkan persekitaran korporat negara menerusi beberapa penambahan elemen pada kandungan draf berkenaan.

‘‘Antara elemen memodenkan persekitaran korporat negara itu adalah melalui pengurangan kos pematuhan, peningkatan kecekapan serta memberi perlindungan kepada pihak berkepentingan.

‘‘Maklum balas melalui rundingan ini penting supaya kita tidak memperkenalkan undang-undang yang menyusahkan orang ramai, malah Akta Syarikat 1965 sedia ada telah diguna lebih 40 tahun dan perlu dipinda," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa Dewan Undangan Negeri (DUN) Pilah di Masjid Al-Firdaus, Melang di sini malam tadi.

Jelasnya, perkara utama rang undang-undang itu yang bakal diperkenalkan termasuk membolehkan syarikat ditubuhkan oleh seorang pemegang saham serta diberi kebebasan untuk mempunyai perlembagaan selepas memperbadankan.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, hanya 90 peratus daripada 500,000 syarikat di seluruh negara menghantar penyata tahunan dan kewangan kepada SSM.

‘‘Sasaran kita adalah 100 peratus kerana ini adalah tanggungjawab asas dalam perniagaan yang mana pemilik perlu menghantar kedua-dua penyata berkenaan kepada SSM.

‘‘Penyata tahunan dan kewangan bagi 2012 perlu dihantar sebelum 7 Ogos ini atau berdepan tindakan undang-undang," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment