My Add

Saturday 3 August 2013

TLDM tingkatkan rondaan sepanjang sambutan Aidilfitri

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 02 Ogos, 2013: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan menugaskan kapal-kapal milik angkatan itu untuk membuat rondaan sepanjang sambutan Aidilfitri ini bagi memastikan keselamatan perairan negara terjamin .

Panglimanya, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar berkata, tumpuan penugasan kapal-kapal berkenaan sudah tentu di kawasan operasi angkatan tersebut yang antaranya meliputi Selat Melaka dan perairan sekitar Lahad Datu, Sabah.

"Di Lahad Datu, kami akan menugaskan empat buah kapal dan tiga bot tempur bagi memastikan situasi di kawasan operasi itu sentiasa dalam keadaan selamat.

"Selain itu, kapal peninjau juga akan ditempatkan dan rondaan dilakukan di kawasan operasi lain seperti Selat Melaka dan pelantar minyak di Pantai Timur negara. Rondaan akan dilakukan 24 jam seminggu," katanya ketika ditemui selepas majlis Perutusan Hari Raya Aidilfitri di Auditorium Kementerian Pertahanan di sini hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Datuk Mohammed Noordin Ali.

Mengulas lanjut, Abdul Aziz berkata, untuk memastikan keselamatan kawasan perairan negara, TLDM juga akan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

Katanya, angkatan itu juga akan bekerjasama dengan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bagi mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai keadaan kawasan perairan negara.

"Keselamatan kawasan perairan negara dapat ditentukan dengan wujudnya kerjasama antara TLDM dengan agensi-agensi tersebut," jelasnya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai ura-ura akan berlaku gelombang kedua insiden di Lahad Datu, Abdul Aziz memberitahu, beliau tidak boleh memberi komen mengenainya.

Bagaimanapun, ujar beliau, perkara itu mungkin peringatan kepada pihaknya dan juga agensi keselamatan negara yang lain supaya sentiasa dalam keadaan bersiap siaga.

"Dalam apa keadaan, kebarangkalian itu pasti ada. Jadi, TLDM akan sentiasa berwaspada dan bersiap siaga bagi memastikan insiden di Lahad Datu tidak akan berlaku lagi," ujarnya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment