My Add

Wednesday 14 August 2013

Sultan Johor titah pusat peranginan, hotel periksa arah kiblat

JOHOR BAHRU, SE;ASA, 13 Ogos, 2013: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menitahkan Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ) mengeluarkan pekeliling dalam tempoh terdekat bagi menentukan arah kiblat di setiap pusat peranginan dan hotel di negeri ini.

Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), Datuk Nooh Gadut berkata, salinan pekeliling tersebut akan diberikan kepada kadi daerah, pegawai daerah dan Yang Dipertua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) berhubung arah kiblat pusat peranginan di kawasan masing-masing.

Nooh berkata, Sultan Ibrahim menitahkan perkara tersebut ketika menerima mengadapnya dan beberapa ahli lain yang mengendalikan kes bangunan surau kawasan penginapan menjadi tempat ritual keagamaan selain Islam di Istana Pasir Pelangi di sini hari ini.

"Tujuan pekeliling tersebut adalah supaya semua pengusaha dan pemilik pusat peranginan di negeri ini mematuhi prosedur ditetapkan dalam penyediaan dan pembinaan rumah ibadat supaya tidak wujud lagi masalah kiblat terpesong dan sebagainya.

"Sultan Johor selaku Ketua Agama Negeri amat prihatin tentang isu ini dan meminta agar siasatan menyeluruh dilakukan mengikut lunas undang-undang ditetapkan," katanya ketika ditemui pemberita di pejabatnya di Pusat Islam Iskandar, di sini hari ini.

Beliau berkata, semua pemilik pusat peranginan termasuk hotel, calet dan resort diminta memberi kerjasama dengan jabatan terlibat dalam menentukan arah kiblat mengikut kedudukan tepat.

"Perkhidmatan ini adalah percuma dan sijil akan dikeluarkan sebagai pengesahan. Kita tidak mahu apa yang terjadi di surau pusat peranginan tersebut yang tersasar 10 darjah ke kanan dari Kaabah, malah menghadap luar dari kawasan Tanah Haram di Mekah berulang kembali.

"Jadi saya harap semua pihak memberi kerjasama. Ini soal solat dan syarat wajib bagi solat adalah menghadap kiblat dan jika tersasar, ini bermakna solat tidak sah," katanya.

Menurut Nooh lagi, pekeliling itu juga bertujuan sebagai garis panduan sesebuah pembinaan masjid dan surau dalam satu-satu kawasan.

"Kita akan tengok sama ada sesuai atau tidak didirikan surau di kawasan peranginan tersebut, jika tidak, kita akan nasihatkan supaya tidak dibina dan cukup sekadar sebuah musala. Bukan apa, kita tidak mahu ada masalah lain di kemudian hari," katanya.

Mengenai pembinaan surau di pusat peranginan tersebut, Nooh berkata, pihaknya akan membuat siasatan secara menyeluruh termasuk melihat reka bentuk surau dan hiasan ayat kalimah syahadah yang menimbulkan keraguan.

"Kewujudan surau itu juga tidak pernah dilaporkan atau mendapat nasihat daripada pejabat kadi sedangkan perkara itu adalah asas terpenting dalam pembinaan sesebuah rumah ibadat," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment