My Add

Wednesday 14 August 2013

Tiada pemilihan semula CEC?

Oleh KASTHURI JEEVENDRAN

 Lim Guan Eng
KUALA LUMPUR, SELASA, 13 Ogos, 2013: DAP disifatkan tidak serius dan bersikap acuh tidak acuh dengan arahan Pertubuhan Pendaftar (ROS) untuk mengadakan semula pemilihan Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) apabila mesyuarat tergemparnya malam tadi hanya memperuntukkan 15 minit sahaja untuk membincangkan isu itu.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang banyak bercakap dalam mesyuarat itu malah dikatakan berjaya meyakinkan pemimpin dan anggota yang hadir bahawa tidak akan ada sebarang pemilihan semula parti.

Ini kerana, menurut Ketua Menteri Pulau Pinang itu: "ROS tidak pernah 'berjaya' menyabitkan sebarang kesalahan (pada DAP) dengan bukti kukuh".

Seorang pemimpin kanan DAP yang enggan dikenali mendakwa, mesyuarat itu yang sepatutnya digunakan untuk membuat keputusan berhubung pemilihan semula parti itu lebih 'gemar' membicarakan kejadian tembak yang berlaku di negara ini.

Beliau serta beberapa pemimpin yang hadir turut kecewa kerana isu manipulasi undi dan desakan pemilihan semula CEC seolah-olah dipandang remeh oleh pemimpin tertinggi parti itu.

Jelasnya, mesyuarat dipengerusikan oleh Karpal Singh itu hanya sekadar 'gimik' untuk 'menunjukkan' kepada umum dan media bahawa mereka sebenarnya menjadi 'mangsa fitnah' oleh ROS dan kerajaan Barisan Nasional.

"Walaupun kami diberitahu itu merupakan mesyuarat tergempar untuk membincangkan isu pemilihan semula CEC, namun tidak ada apa-apa yang menggemparkan.

"Guan Eng dalam mesyuarat itu sebaliknya lebih berminat bercakap tentang kejadian tembak yang semakin menjadi-jadi. Dia menyerahkan kepada Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok untuk bercakap panjang lebar isu tembak ini. Mungkin kami (DAP) akan membuat kempen kesedaran di seluruh negara berhubung perkara ini.

"Dalam mesyuarat itu, parti merasakan arahan ROS itu sebenarnya tidak begitu penting kerana calon-calon yang menang dan kalah pada pemilihan lepas tidak pernah tampil secara terbuka menentang keputusan CEC Disember lepas. Selagi mereka tidak buka mulut, apa nak DAP risaukan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas intipati 'mesyuarat tergempar' di Ibu Pejabat DAP di Pudu malam tadi kononnya untuk menyelesaikan kepincangan pemilihan CEC yang terus berlarutan apabila DAP berdolak-dalik dan enggan mengadakan pemilihan semula atas alasan mereka telah membetulkan kesilapan memalukan itu.

ROS pada 30 Julai lalu mengarahkan DAP mengadakan semula pemilihan berkenaan selepas tidak berpuas hati dengan penjelasan DAP selain mendakwa tidak diberi kerjasama ketika siasatan dijalankan.

Siasatan ROS dijalankan setelah ahli DAP berterusan mendesak parti itu mengadakan pemilihan semula CEC kerana mendakwa wujud penyelewengan dan manipulasi undi ketika pengundian.

Jelas pemimpin kanan DAP itu lagi, walaupun ramai pemimpin tertinggi parti hadir dalam mesyuarat itu namun rata-rata adalah penyokong kuat 'Dinasti Lim', malah tidak ada sesiapa yang berani 'membuka mulut' menyoal berhubung insiden itu.

"Akhirnya, keputusan mesyuarat yang diambil hanyalah dengan menulis surat kepada ROS untuk segera mengadakan pertemuan dengan Guan Eng dalam masa terdekat," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment