My Add

Wednesday 14 August 2013

Tiga termasuk ketua Geng 08 Vinod berjaya ditahan

KUALA LUMPUR , RABU, 14 Ogos, 2013: Polis menahan tiga lelaki termasuk ketua kumpulan Geng 08 Vinod selepas mereka melepaskan tembakan ke arah sebuah kereta peronda polis yang mengejar kenderaan dinaiki penjenayah itu di Jalan Ipoh di sini petang semalam.

Kejadian pukul 1.40 petang itu berlaku setelah polis mendapat maklumat mengenai satu kes samun bersenjata yang dilakukan sekumpulan lelaki menaiki sebuah trak pikap Mitsubishi Triton dengan nombor pendaftaran BY 5 di Selayang.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah berkata, susulan hebahan kejadian samun itu, polis berjaya mengesan kenderaan dinaiki kumpulan tersebut di Batu Caves.

"Sebanyak tujuh buah kereta peronda polis telah mengejar kenderaan suspek sejauh kira-kira 30 kilometer sehingga ke kawasan Rawang dan berpatah balik ke Selayang.

"Sebaik sahaja tiba di persimpangan Lebuh Raya Latar (Lebuh Raya Kuala Lumpur-Kuala Selangor), suspek melepaskan satu das tembakan ke arah kereta peronda polis namun tersasar.

"Polis terus mengejar suspek sehingga ke Jalan Ipoh dan trak penjenayah terbabit menghimpit sebuah kereta peronda sehingga terbabas dan kesemua suspek meloloskan diri," katanya ketika dihubungi malam tadi.

Menurut Abdul Rahim, polis petang semalam menyerbu sebuah pangsapuri di Taman Pinggiran Batu Caves dan menahan tiga lelaki berusia antara 22 hingga 26 tahun.

"Polis turut merampas trak pikap Mitsubishi Triton yang diletakkan di bawah pangsapuri tersebut," katanya.

Katanya, polis masih memburu dua lagi suspek yang meloloskan diri dan tiga serbuan di rumah suspek gagal mengesan mereka. - UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment