Negara asing bantu atas hubungan baik dan nilai kemanusiaan - Anifah
SEPANG, SELASA, 18 Mac, 2014: Hubungan dua hala yang baik selain nilai kemanusiaan telah membolehkan Kuala Lumpur menjalin kerjasama dengan 25 negara lain untuk menjalankan operasi mencari pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 secara bersama.
Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata, beliau sendiri telah bercakap dengan kesemua menteri luar yang terlibat dalam operasi itu manakala Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak turut menghubungi Presiden dan pemimpin tertinggi beberapa buah negara.
"Selain negara-negara yang terletak di koridor utara dan selatan, terdapat sembilan negara dari luar koridor seperti Amerika Syarikat, Jepun dan Korea Selatan turut menawarkan bantuan mereka.
"Ini merupakan satu kerjasama yang rumit kerana melibatkan 25 negara yang mempunyai ideologi dan sistem kerajaan yang berlainan," katanya dalam sidang akhbar di Pusat Media di Hotel Sama-Sama di sini hari ini.
Anifah berkata, Kuala Lumpur turut bersedia membantu sekiranya terdapat negara yang tidak dapat memobilisasikan aset mereka untuk mengesan pesawat MH370.
Katanya lagi, selain menawarkan bantuan untuk mengesan pesawat MH370, banyak negara turut menyatakan rasa simpati terhadap apa yang berlaku.
Ditanya kenapa Malaysia tidak meminta pertolongan Iran, Anifah berkata, bantuan dari negara itu tidak diperlukan pada masa ini.
"Saya percaya pihak berkenaan akan kemukakan permintaan bantuan daripada Iran jika keadaan memerlukan," katanya. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment