My Add

Monday 31 March 2014

Wanita selamat selepas 14 hari terapung di laut

JAKARTA, ISNIN, 31 Mac, 2014: Pantang maut sebelum ajal. Itulah yang dialami seorang wanita selepas hanya bergantung kepada air hujan untuk hidup setelah terapung di laut selama dua minggu.

Susanti, 32, yang berasal dari Desa Lebo dalam daerah Parigi Moutong, Sulawesi Tengah, ditemui oleh dua nelayan di laut pagi tadi.

Ketua Polis Wilayah Poso Kota, Urbanus Songgo berkata kejadian berlaku apabila bot yang dinaiki Susanti dan suaminya, Toni, 33, terbalik dilambung

ombak ketika memancing ikan di laut.

"Dari keterangan mangsa, dia sudah 14 hari terumbang-ambing di laut. Dia boleh bertahan hidup kerana minum air hujan. Wanita ini diselamatkan oleh dua

nelayan yang berasal dari Tegalredjo, Poso, kira-kira 11 pagi tadi," kata

Urbanus yang dipetik akhbar Kompas.com pada Isnin.

Urbanus berkata, daripada keterangan dua nelayan berkenaan, Sudirman, 30, dan Aco, 36, mereka melihat sebuah bot terbalik dan seorang wanita yang berada dalam keadaan lemah.

"Kedua-dua nelayan itu membawa mangsa ke klinik berdekatan. Sehingga kini, suami Susanti belum ditemui," katanya. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment