My Add

Sunday 30 March 2014

Objek mencurigakan dikesan

PERTH, SABTU, 29 Mac, 2014: Pesawat tentera China yang terlibat dalam pencarian MH370 hari ini melihat objek mencurigakan berwarna merah, putih dan oren terapung di selatan Lautan Hindi sewaktu usaha mencari memasuki minggu keempat.

Pesawat Ilyushin IL-76 yang terbang di kawasan pencarian baharu itu menemukan objek berkenaan kira-kira 1,850 kilometer (km) barat Perth, lapor agensi berita rasmi Xinhua.

Kapal tentera laut China, Jinggangshan yang membawa bersama dua buah helikopter tiba di kawasan pencarian baharu itu awal hari ini dan dijangka memberi tumpuan pada usaha mencari serpihan pesawat, kesan tumpahan minyak dan jaket keselamatan.

Penemuan itu adalah rentetan laporan beberapa objek pelbagai warna dilihat kru pesawat antarabangsa yang terlibat dalam pencarian semalam, kata Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia (AMSA).

"Sesetengah daripadanya seperti daripada bot nelayan dan tiada apa yang boleh disahkan sebelum objek itu diambil oleh kapal," katanya.

Ketua Skuadron Penerbangan Tentera Udara Diraja New Zealand (RNZAF), Leftenan Leon Fox berkata, pihaknya amat berharap untuk mengesan semula objek yang dilihat semalam.

"Diharapkan beberapa kapal yang berada di kawasan itu mampu memulakan pengutipan dan memberikan kita petunjuk apa yang dilihat semalam," katanya sebelum menerbangkan pesawat P3 Orion ke kawasan operasi.

Sementara itu AFP melaporkan, pencarian MH370 diteruskan di zon baharu Lautan Hindi dengan harapan akan dapat menemukan serpihan daripada pesawat yang dilaporkan berakhir di kawasan itu.

Walaupun mempunyai keupayaan aset, Perdana Menteri, Tony Abbott berkata, pasukan mencari berhadapan dengan tugas sukar untuk dilaksanakan berikutan jarak yang jauh.

"Kita tidak harus memandang rendah kesukaran kerja ini, ia merupakan lokasi yang luar biasa terpencil.

"Kami cuba untuk mencari serpihan kecil bangkai di lautan yang luas. Kita menggunakan apa sahaja yang kita ada untuk tujuan itu dan tugas ini akan diteruskan," katanya dalam sidang akhbar di sini.

Semalam, pesawat terlibat dalam operasi mencari besar-besaran menemukan beberapa objek terapung di lautan selepas fokus pencarian diubah ke kawasan baharu berdasarkan data kukuh yang menunjukkan pesawat MH370 terbang lebih cepat berbanding yang disangkakan sebelum hilang pada 8 Mac.

Pihak berkuasa menegaskan, objek berkenaan tidak dapat disahkan sebagai serpihan MH370 sehingga mereka memeriksa secara fizikal dan pencariannya sedang dilakukan oleh kapal milik negara ini dan China. - AGENSI/UTUSAM 

No comments:

Post a Comment