My Add

Saturday 29 March 2014

Lokasi MH370 lebih dekat

 * HISHAMMUDDIN Tun Hussein (tengah) bersama Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Datuk Azharuddin Abdul Rahman (kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif MAS, Ahmad Jauhari Yahya (kiri) pada sidang akhbar mengenai kehilangan pesawat MH370 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR, JUMAAT, 28 Mac, 2014: Lokasi pencarian pesawat MH370 yang dianjakkan 1,100 kilometer (km) ke arah timur laut dari lokasi sebelum ini dibuat berdasarkan maklumat meyakinkan daripada Boeing hasil pengiraan kompleks terhadap kelajuan pesawat tersebut.

Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, dengan mengambil kira kelajuan, ketinggian, jarak dan keupayaan pesawat, Boeing merumuskan MH370 mungkin terbang lebih dekat tetapi masih dalam kawasan pencarian di koridor selatan.

Katanya, zon baharu itu lebih kecil berbanding sebelum ini dan operasi menyelamat mesti dilakukan berpandukan pada petunjuk terbaik yang diperoleh ketika ini.

"Semalam proses pengiraan itu memberikan petunjuk baharu yang menunjukkan MH370 terbang lebih laju daripada disangka sebelum ini iaitu 855 km sejam. Ini bermakna lebih banyak minyak telah digunakan MH370 dan pesawat itu tidak boleh terbang lebih jauh seperti disangka.

"Pasukan penyelamat Australia telah mengubah lokasi pencarian tetapi kekal konsisten iaitu di kawasan di mana banyak objek berpotensi berjaya dikesan oleh satelit pelbagai negara sebelum ini," katanya dalam sidang akhbar di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Dalam pada itu, Hishammuddin memberitahu, kerajaan mengarahkan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail meneliti segala implikasi perundangan berikutan insiden menimpa pesawat MH370 termasuk kemungkinan Malaysia Airlines (MAS) disaman waris penumpang.

Menurutnya, keputusan tersebut dibuat Kabinet hari ini selepas mengambil kira perkembangan terkini insiden pesawat MH370, selain sebagai persiapan awal kerajaan untuk melangkah ke hadapan.

Pada masa sama, beliau menjelaskan Kabinet turut memutuskan bahawa semua waris penumpang yang ketika ini berada dalam tekanan emosi tinggi perlu didekati dan dibantu dengan segala langkah perlu terutamanya dalam aspek penjelasan mengenai maklumat terkini MH370.

"Kerajaan faham emosi keluarga mangsa kini cukup tinggi tetapi kita bekerjasama rapat dengan semua pihak untuk mencari MH370 dan segala maklumat berkaitan dikongsi bersama ahli keluarga," katanya. - UTUSAN

4
456










Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140329/dn_04/Lokasi-MH370-lebih-dekat#ixzz2xMWjaSjE
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment