My Add

Monday 31 March 2014

MH370: Indonesia yakin keupayaan Malaysia

Oleh KHAIRULANUAR YAHAYA

KUALA LUMPUR, ISNIN, 31 Mac, 2014: Indonesia hari ini melahirkan keyakinan terhadap keupayaan Malaysia dalam operasi mencari pesawat MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu.

Keyakinan itu disuarakan oleh Penasihat Khas Menteri Luar Indonesia, Wiwiek Setyawati Firman ketika mengadakan perjumpaan dengan Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein di sini.

"Tujuan pertemuan ini adalah bagi menyuarakan sokongan kami kepada Malaysia untuk meneruskan penyiasatan dan operasi mencari MH370.

"Kami memang yakin sepenuhnya dengan kemampuan kerajaan Malaysia dan memang kami menyokong," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan tertutup itu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.

Dalam pertemuan itu, Wiwiek Setyawati turut menyatakan Indonesia sentiasa bersedia untuk memberi sebarang bentuk bantuan yang diperlukan Malaysia.

"Kami sedia memberi sebarang bentuk bantuan yang diperlukan. Misalnya kami telah memberi kebenaran bagi 94 penerbangan dari 9 negara untuk tujuan operasi ini," kata beliau.

Mengenai dakwaan kononnya terdapat keluarga penumpang Indonesia yang menerima panggilan telefon daripada ahli keluarga mereka yang berada dalam MH370, katanya, beliau tidak berada dalam kedudukan untuk mengesahkan perkara itu.

"Keluarga penumpang telah menyatakan sokongan mereka terhadap kerajaan Malaysia untuk meneruskan operasi ini dan mereka mengharapkan masih ada yang terselamat," katanya.

Sembilan rakyat Indonesia antara 227 penumpang MH370 yang hilang sejak 23 hari lalu.

Sejurus bertemu delegasi Indonesia, Hishammuddin turut bertemu dengan Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia, Rod Smith.

Smith yang ditemani Ketua Suruhanjaya Biro Keselamatan Pengangkutan Australia, Matin Dolan ketika ditemui selepas pertemuan selama 40 minit itu bagaimanapun enggan mengulas tentang perjumpaan itu. - UTUSAN ONLINE 

No comments:

Post a Comment