My Add

Saturday 29 March 2014

Jangan bersikap berat sebelah

MUKAH, JUMAAT, 28 Mac, 2014: Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengingatkan semua anggotanya yang bertugas mengawasi proses pengundian dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian esok, supaya bersikap berkecuali dengan tidak memihak kepada mana-mana parti yang be,rtanding.

Bagi mengelak daripada dilihat bersikap 'berat sebelah', beliau memberi amaran kepada anggota yang terlibat dalam tugasan itu supaya jangan menerima apa sahaja barangan diberi oleh penyokong parti bertanding termasuk minuman dan makanan.

"Saya memberi peringatan kepada anggota bertugas pada setiap kali pilihan raya kecil atau umum supaya jangan mengambil barang-barang termasuk makanan dan minuman diberi oleh parti yang bertanding.

"Ini disebabkan kita tidak mahu dituduh memihak kepada mana-mana parti sebagai contoh apabila dilihat meminum air mineral daripada botol yang mempunyai lambang parti," katanya dalam sidang akhbar semasa mengadakan lawatan ke Ibu Pejabat Polis Daerah Mukah (IPD) Mukah di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Salleh Mat Rasid; Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Muhammad Sabtu Osman dan Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Omar Bakhtiar Yaacob.

Selain mengelak dituduh 'berat sebelah', Khalid berkata, beliau juga risau anggotanya jatuh sakit jika mengambil makanan dan minuman yang disediakan oleh pihak luar kerana mungkin tidak bersih memandangkan mereka perlu bertugas dalam tempoh lama iaitu dari awal pagi hingga lewat malam bagi mengawasi proses pengundian.

"Jangan terima tawaran minuman dan makanan walaupun air mineral, nasi lemak atau gula-gula. Jangan risau, saya sudah memastikan makanan dan minuman mencukupi disediakan untuk anggota bertugas sampai tepat pada masanya esok," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, anggotanya sudah bersedia untuk menjalankan tugas mengawasi proses pengundian esok bagi memastikan demokrasi berjalan lancar.

Menurutnya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempunyai cukup keanggotaan untuk menjalankan tugas mengawal 21 pusat pengundian dan keadaan keselamatan sepanjang proses pengundian berlangsung.

Katanya, beliau yakin proses pengundian di Balingian berjalan baik tanpa berlaku sebarang insiden tidak diingini seperti semasa proses penamaan calon dan berkempen sebelum ini.

"Mungkin akan ada pihak cuba melakukan provokasi tetapi saya nasihatkan anggota bertugas supaya bersabar dan hanya mengambil tindakan mengikut undang-undang jika mereka bertindak di luar batasan," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment